Posted by: ustaz Muhammad Ismail | Disember 30, 2008

Bahagian Akhir Kisah Qabil dan Habil

Sebenarnya Qabil lupa bahawa setiap pekerjaan ada halangan dan cabarannya. Begitu juga dengan Habil yang menghadapi berbagai kesukaran sebagai peternak kambing. Dia juga keluar pagi pagi membawa kambing pergi mencari makan dan minum di kawasan yang berhampiran hutan, menjaga ternakannya dari gangguan serigala, mengubati kambingnya yang sakit dan itulah rutin harian seorang penternak.

Namun Qabil tetap tidak puas hati, nafsunya terus memberontak dan dia bersumpah Iklimiya’ miliknya walaupun apa terjadi. Lewat malam Qabil pulang ke rumah, dia dapati bapanya masih belum tidur. Kesedihan jelas terpancar di wajah Qabil.

Syaitan menyedari, Adam tidak memilih dalam memberi kasih sayang terhadap anak-anaknya. Esoknya Adam memanggil Qabil dan Habil dengan penuh kasih sayang dia berkata kepada kedua dua anaknya, “Wahai Qabil ! kamu korbanlah sesuatu dari hasil tanaman kamu kepada Allah. Wahai Habil! Kamu juga korbanlah sesuatu dari hasil ternakan kamu kepada Allah. Sesiapa yang korbannya diterima Allah, dialah yang berhak dan layak untuk berkahwin dengan Iklimiya’”. Kedua dua beradik setuju dengan cadangan bapa mereka. Mereka bersegera menyediakan korban untuk diserahkan kepada Allah.

Selepas itu Adam bersiap sedia untuk musafir ke Mekah menunaikan haji dan tawaf. Setelah selesai menunaikan haji dan tawaf Adam pun berangkat pulang dan meninggalkan Hindun di Mekah. Manakala Qabil dan Habil membuat persiapan untuk menyerah korban masing masing kepada Allah. Tanda korban diterima oleh Allah ialah turun cahaya putih dari langit lalu memakan korban itu, manakala tanda korban itu tidak diterima ialah korban itu dibiarkan begitu sahaja sehingga rosak tanpa disentuh oleh manusia, binatang dan burung.

Habil pun keluar pergi ke kandang kambingnya untuk memilih seekor kambing paling baik dari ternakannya. Akhirnya Habil memilih seekor kambing yang paling gemuk, paling kuat dan yang paling cantik untuk dijadikan korban. Oleh kerana Habil amat mencintai Allah, justeru itu dia memilih dan menyerah korban yang terbaik, yang ada di sisinya untuk Allah SWT.

Ada pun Qabil ialah seorang yang amat mementingkan diri sendiri. Dia pergi ke ladangnya untuk memilih hasil tanaman untuk dijadikan korban. Akhirnya dia memilih hasil tanaman yang paling buruk sebagai korban yang diserahkan kepada Allah. Itu bukanlah suatu perkara yang pelik dari Qabil kerana sikapnya yang mementingkan diri sendiri.Sikap orang yang mementingkan diri, dia tidak sanggup memberi apa yang terbaik dari miliknya untuk dikorban kepada orang lain sekali pun kepada Allah.

Setelah Qabil dan Habil memilih korban masing masing, mereka berdua pergi ke puncak bukit dan meletak korban mereka di sana. Mereka menunggu keputusan dari Allah. Masa penantian terus berjalan.Habil mengetahui bahawa korbannya akan diterima oleh Allah kerana dia telah menyediaka korban yang terbaik dari miliknya. Manakala Qabil dia berangan angan, bahawa dialah yang akan berjaya, sedangkan dia tahu bahawa Allah akan menerima korban Habil.

Masa yang ditunggu tunggu pun tiba. Mereka berdua nampak cahaya putih dari langit, lalu cahaya tersebut terus menyambar korban Habil. Habil pun terus sujud bersyukur kepada Allah kerana telah menerima korbannya. Tinggallah korban Qabil di situ tanpa disentuh dan tidak diterima oleh Allah.

Tiba tiba muncul syaitan dari kanan, kiri, depan, belakang dan di sisi Qabil lalu berteriak “Ha! Ha! Ha! Iklimiya’ dah terlepas dari gengaman engkau ha! Ha! Ha! Sesungguhnya ketika bapa kamu di Mekah dia berdoa supaya korban Habil diperkenan oleh Allah dan tidak berdoa untuk kamu Ha! Ha! Ha!” Qabil terus bertempit kepada Habil! “Aku bunuh kamu!” Habil dengan tenang menjawab; “Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang orang yang bertaqwa. Jika sesungguhya kamu menggerakkan tangan kamu untuk membunuh ku. Aku sekali kali tidak akan menggerakan tangan ku untuk membunuh kamu, sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekelian Alam. Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali membawa dosa membunuhku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan orang orang yang zalim.

al-maidah-27al-maidah-28al-maidah-29

Al Maidah 27-29

Selepas itu Habil terus pulang ke rumah. Sebenarnya Qabil lebih gagah dari Habil dan mudah diperdaya oleh syaitan tetapi Habil walaupun lemah dari Qabil, dia tidak taat kepada syaitan dan tidak dengar pujukan syaitan. Habil tidak sanggup menyakiti saudaranya Qabil walaupun dia terpaksa membayar dengan harga dirinya.

Qabil tidak mampu mencari helah lagi, akhirnya Habil akan dikahwin dengan Iklimiya’ oleh bapanya kerana korban diterima oleh Allah. Lalu pemikiran jahat terus bergelombang kuat dalam pemikiran Qabil seperti laut yang bergelombang ganas di waktu malam yang gelap yang tiada penghujungnya atau tidak ada jalan keluar melainkan ia membunuh Habil.

Qabil terus berjalan mundar mandir ke hulu ke hilir tidak tahu ke mana arah tujuan, sehingga lewat malam barulah ia sampai ke rumahnya. Pada malam itu dia tidak dapat tidur, seolah-olah malam, langit dan bumi semuanya menentangnya dan menyokong Habil. Syaitan terus menghasutnya “Ha! Ha! Ha! Qabil tidak dapat kahwin dengan Iklimiya’ yang cantik jelita Ha! Ha! Ha! Alangkah indah dan bahagianya Habil dan Iklimiya’… ” begitulah berlalunya malam itu Qabil tidak dapat tidur, sedar sedar hari sudah siang dan dia bertekad hari aku akan bunuh Habil.

Habil seperti biasa awal awal lagi telah keluar bersama ternakannya di kaki bukit.Qabil tidak pergi ke ladangnya sebaliknya dia mengekori Habil tanpa disedari. Dari tempat persembunyiannya dia melihat Habil begitu leka menjaga binatang ternakannya. Dia perlahan lahan mendekati Habil sambil membawa seketul batu yang besar. Setelah dia betul betul berada di belakang Habil, dia terus memukul kepala Habil tersembur darah keluar dari kepala dan Habil jatuh tersungkur tidak bernyawa lagi. Tiba tiba syaitan ketawa terbahak bahak “Kah! kah! kah! kah! kah!” kerana dia telah menang satu lagi peperangan menentang Adam. Pertama dia berjaya mengeluarkan Adam dari syurga, kedua dia menyaksi sendiri Qabil membunuh Habil.

Qabil termanggu di depan mayat saudaranya, dia tahu apa yang harus dilakukannya. Akhirnya dia memikul mayat saudara di atas bahunya dan terus berjalan tanpa berhenti dan tidak tahu apa perlu ia lakukan terhadap mayat saudaranya. Setelah lama berjalan dan merasa letih, dia pun berhenti berehat seketika tiba tiba dia terpandang dua ekor burung gagak sedang bergaduh sehingga seekor terbunuh. Lalu burung gagak yang masih hidup menggali lubang, apabila lubang siap digali burung gagak tadi menarik kawannya yang mati ke dalam lubang tersebut, kemudian burung gagak menimbus lubang tersebut setelah selesai menimbus burung gagak itu pun terbang. Qabil mengetahui Allah telah mengutuskan dua ekor burung gagak untuk mengajarnya bagaimana mengebumikan mayat saudaranya lalu Qabil menangis sambil berkata; “Aduhai celakalah aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti gagak ini, lalu aku dapat mengebumikan mayat saudara ku ini.”


al Maidah : 31

Peristiwa pembunuhan Habil, menyebabkan satu per enam daripada penduduk dunia ketika itu binasa. Selepas itu Adam pun sampai ke rumahnya pulang dari mengerjakan haji dan tawaf di Mekah. Peristiwa pembunuhan itu juga menyebabkan bumi tidak menyerap darah Habil, pokok tumbuhan tumbuhan mula tumbuh duri dan binatang menjadi liar dan takut mendekati manusia.

Setelah mengetahui Adam kembali, lalu Qabil segera menangkap dan memaksa Iklimiya’ lari bersamanya, pergi jauh dari bapanya. Adam berkata pergilah kamu bersama kemurkaan Allah dan kemarahan ku kepada kamu dan sesiapa yang melakukan perbuatan seperti kamu akan mendapat kemurkaan yang sama dari Allah.

Qabil juga mendapat balasan yang sama, akhirnya dia juga dibunuh oleh anaknya, dan bermula siri pembunuhan yang berterusan di dunia hasil perbuatan pembunuhan pertama oleh Qabil.

Adapun Adam a.s, Allah telah mengurniakan seorang anak lelaki yang baik dan taat bernama Shiis a.s dengan pengurniaan itu kebaikan telah berjaya mengalahkan kejahatan.

Beberapa pengajaran dari Kisah Qabil dan Habil:

  1. Permusuhan syaitan terhadap manusia, oleh itu kita jangan sekali kali taat kepada syaitan, bahkan kita wajib menjadikan sebagai musuh utama sebagai yang dikehendaki oleh Allah

  2. Maksiat punca kemurkaan Allah SWT dan taat adalah sebab mendapat rahmat Allah SWT.

  3. Kita hendaklah mengorbankan apa yang terbaik dari milik kita untuk Allah SWT.

  4. Kita hendaklah sentiasa taat pada perintah Allah dan beriltizam dengan syariat Allah SWT.

Rujukan:-

Al Maidah : 27-31

Cerita cerita dalam al Quran

Tafsir Ibnu Kathir

About these ads

Respon

  1. [...] dari: http://ustmuhammad.wordpress.com/2008/12/30/bahagian-akhir-kisah-qabil-dan-habil/ Posted in PemudaTags: Adam AS, Habil dan Qabil, Hawa, kisah dari [...]

  2. saya tak pernah tahu kesudahan cerita qabil..ilmu baru untuk hari..jzkk ustaz

  3. slm ust, jzkk atas pengdetailan kisah ini.. sungguh menarik utk dikongsi disini

  4. sebelum ni tahu kisah ni melalui lagu Far East. by the way, baru perasan kisah ini agak serupa dengan kisah di dalam drama Nur Kasih, TV3. Aidil & Adam.

  5. kalau menurut saya itu …merupakan sebuah peristiwa perebutan kekuasaan antara HABIL DAN QABIL..mareka saling merebut tahta kepemimpinan,,sebuah kerajaan yang makmur ..di ibaratkan seorang perempuan yg bernama IKLIMA…karena AL-QURAN selalu bercerita dalam bhsa alegoris atau perumpaan…


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 28 other followers

%d bloggers like this: