Mukadimah Surah al Kahfi
Kisah-kisah merupakan unsur dominan di dalam surah ini. Bermula dengan kisah Ashabul Kahfi, kisah dua buah ladang dan kisah Adam dan iblis. Dipertengahan surah pula dengan kisah Musa as dengan hamba yang soleh dan kisah Zul Karnain. 2/3 dari ayat-ayat surah ini membicarakan kisah-kisah tersebut,iaitu sebanyak 71 ayat dari 110 ayat. Sebahagian besar ayat-ayat yang tinggal merupakan ulasan dan komentar terhadap kisah-kisah itu.
Manakala baki ayat-ayat yang tertinggal menayangkan beberapa pemandangan Qiamat dan pemandangan kehidupan yang menggambarkan gagasan atau konsep mengikut cara ungkapan dan ilustrasi al Quran.
Tema-tema utama yang mengikat seluruh perbicaraan dan penerangan surah berlegar disekitar;
- Tashih Aqidah
- Tashih manhaj kajian dan berfikir
- Tashih nilai-nilai dengan neraca aqidah
Tashih Aqidah
Tashih aqidah dijelaskan di awal dan di akhir surah;
- Penjelasan di awal surah bermula dari ayat pertama hingga ayat kelima.
- Penjelasan di akhir surah ayat terakhir iaitu ayat 110.
Begitulah permulaan dan pengakhiran surah ini saling mempromosikan iklan aqidah mentauhidkan Allah dan menolak sekutu selain dari Allah, mengisbatkan wahyu dan tamyiz atau membezakan secara mutlak antara zat Ilahiyah (Ketuhanan) dengan zat-zat makhluk .
Tema ini kerap kali disentuh dengan berbagai cara dan gaya dalam surah ini.
Diantaranya ialah;-
- Kisah Ashabul Kahfi. Pemuda-pemuda yang beriman kepada Allah berkata:“Tuhan kami ialah Tuhan yang memiliki langit dan bumi.Kami tidak akan menyembah tuhan selain dari Nya. Seandainya kami menyembah yang lain darinya bererti kami telah mengatakan penyelewengan yang amat jauh”. Ayat 14;al Kahfi.Kemudian Allah mengulaskan kata-kata mereka dengan firman Nya yang bermaksud:“Mereka tidak mempunyai sebarang penaung selain dari Allah dan Allah tidak pernah berkongsi dengan sesiapa pun dalam urusan pentadbiran Nya”. (ayat 26;al Kahfi.)
- Kisah dua buah ladang, ketika berbual lelaki beriman berkata kepada temannya:
“Apakah engkau tidak percaya lagi kepada Tuhan yang telah mencipta engkau dari tanah kemudian dari nutfah kemudian Dia menjadikan engkau seorang lelaki.Tetapi bagi aku Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak sekali-kali mempersekutukan Tuhanku dengan sesiapa pun”.Ayat 37-38;al KahfiKemudian Allah mengulas dan membuat kesimpulan dengan firman Nya yang bermaksud:“Dan tiada satu kumpulan manusia pun yang dapat menolongnya selain dari Allah dan dia juga tidak dapat membela dirinya sendiri. Di sana pertolongan itu hanya dari Allah Yang Hak, Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan pembalasan”.Ayat 43-44;al Kafir - Pemandangan hari Qiamat, Allah berfirman bermaksud:“Dan ingatlah pada hari Allah berfirman, panggillah sekelian sekutu-kutu Ku yang telah kamu dakwakan itu, lalu mereka pun memanggil, tetapi sekutu-kutu itu tidak menyahut panggilan mereka, dan Kami telah jadikan di antara mereka satu tempat kebinasaan yang dahsyat.” (ayat 52;al Kahfi)Kemudian Allah mengulas tentang pemandangan Qiamat dengan firman Nya yang bermaksud:
“Apakah orang-orang kafir itu menyangka bahawa mereka boleh mengambil hamba-hamba Ku sebagai pelindung-pelindung, selain dari Aku, sesungguhnya Kami telah pun menyediakan Neraka Jahanam sebagai tempat tinggal bagi orang-orang kafir”(ayat 102;al Kahfi)
Tashih Manhaj Kajian dan Berfikir
Tashih manhaj kajian dan berfikir dapat dilihat dengan jelas dalam kecaman Allah terhadap dakwaan-dakwaan kaum musyirikin yang memperkatakan sesuatu, apa yang mereka tidak ketahui. Mereka tidak mengemukakan sebarang hujah terhadap fikiran yang diperkatakan. Penalaan yang ditujukan kepada manusia supaya menghukum sesuatu mengikut apa yang diketahuinya sahaja dan tidak melebihi garis sempadan itu dan hendaklah ianya diserahkan kepada Allah.
- Pada permulaan surah Allah berfirman yang bermaksud “Dan Dia memberi amaran kepada orang-orang yang berkata bahawa Allah mempunyai anak. Sebenarnya mereka dan datuk nenek mereka juga tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenainya ”. (ayat 4-5; al Kahfi.)
- Ashabul Kahfi berkata “Mereka adalah kaum kami yang telah menyembah tuhan-tuhan selain dari Allah, cubalah mereka buktikan sifat tuhan-tuhan yang lain itu dengan hujah yang jelas”. (Ayat 15;al Kahfi)Begitu juga Ashabul Kahfi tertanya-tanya sesama mereka berapa lama mereka tidur di dalam gua itu, dan mereka menyerahkan perkara kepada Allah. “Ujar mereka Allah Tuhan kamu sahaja yang lebih mengetahui berapa lama kamu telah tidur” .ayat 19Di tengah kisah ini Allah mengecam mereka yang memperkatakan bilangan ashabul kahfi secara tekaan dan menduga dalam urusan ghaib. “Mereka (satu puak Ahli Kitab) akan berkata bahawa jumlah mereka (ashabul kahfi) tiga orang dan yang keempat islah anjing mereka, Satu puak berkata jumlah mereka lima orang dan yang keenam ialah anjing mereka semua meneka-neka perkara ghaib, sepuak yang lain berkata jumlah mereka tujuh orang dan yang kelapan ialah mereka, Katakanlah Tuhan ku lebih mengetahui tentang bilangan mereka yang sebenar dan tiada yang mengetahui bilangan mereka melainkan hanya segelintir sahaja. Oleh itu janganlah engkau berdebat dengan mereka mengenai ashabul kahfi itu kecuali perdebatan yang zahir sahaja dan janganlah engkau tanya seseorang pun dari mereka mengenai Ashabul Kahfi itu” ayat 22.Dalam kisah Musa as dengan hamba Allah yang soleh ketika dia menjelaskan kepada beliau rahsia tindakan-tindakannya yang dikritik oleh beliau katanya “Sebagai rahmat dari Tuhan mu dan aku tidak lakukan semuanya ini mengikut fikiran ku”.ayat 82. Hamba soleh itu menyerahkan tindakan-tindakannya kepada Allah.
Tashih Nilai-Nilai Dengan Neraca Aqidah
Ia disebut dalam surah ini diberbagai-bagai tempat secara yang berasingan. Nilai-nilai yang hakiki dirujuk kepada keimanan dan amal soleh dan semua nilai-nilai duniawi yang lain yang mempesonakan perhatian manusia semuanya kecil dan kerdil belaka.
- Seluruh perhiasan dan keindahan di muka bumi adalah ciptaan Allah sebagai ujian dan cubaan, dan semuanya berakhir dengan kemusnahan belaka. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah jadikan segala apa yng ada di bumi sebagai hiasan yang cantik dengan tujuan untuk Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya. Dan sesungguhnya di hari Qiamat Kami jadikan segala apa yang ada di atas bumi ini tanah yang keras dan tandus”.Ayat 7-8.
- Naungan Allah itu amat luas dan lapang sekalipun seseorang itu berlindung di sebuah gua yang kasar dan sempit. Ashabul Kahfi yang menghuni gua berkata setelah mereka mengasingkan diri kaum mereka “ dan oleh itu setelah mengasingkan diri dari kaum mereka dan apa yang mereka sembah selain dari Allah, maka carilah tempat berlindung di dalam gua niscaya Allah Tuhan kamu melimpahkan rahmat Nya ke atas kamu dan menyediakan pertolongan terhadap urusan kamu”.ayat 16.
- Khitab Allah yang mentaujih Rasulullah saw supaya bersabar bersama orang-orang yang beriman, tanpa mempedulikan keseronokkan dan kesenangan hidup dunia serta pencinta-pencinta dunia yang lalai dari Allah. Firman Nya yang bermaksud “ dan bersabarlah kamu bersama sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pagi dan petang dengan mengharapkan keridhaan Nya, dan janganlah kedua mata mu menjauhkan pandangannya dari mereka kerana mahukan kepada kesenangan hidup dunia, dan janganlah kamu tunduk kepada kemahuan orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsunya yang melampaui batas. Katakanlah kebenaran itu dari Allah Tuhan kamu, sesiapa yang mahu keimanan dia boleh beriman dan sesiapa yang mahu kekufuran dia boleh kufur”. Ayat 28-29.
- Kisah dua buah ladang menggambarkan bagaimana seorang yang beiman itu lebih berbangga dengan keimanannya dari harta kekayaan, pangkat kebesaran dan kesenangan hidup dunia. Bagaimana dia menghadapi rakannya yang angkuh dan sombong terhadap kebenaran dan mengecamnya kerana lupakan Allah. “ Kawannya yang beriman kepadanya ketika berbual dengannya, apakah kamu kafir kepada Tuhan yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari nutfah kemudian dia menjadikan seorang lelaki . Tetapi aku percaya Dialah Allah Tuhan ku dan aku tidak sekali-kali mempersekutukan Tuhan ku dengan sesiapa pun. Sepatutnya kamu berkata Masya’ Allah Laa Quwwata illa bilLah ketika kamu memasuki ladang tadi, jika kamu memandang aku mempunyai harta kekayaan dan anak pinak yang lebih sedikit dari mu. Maka aku harap semoga Tuhan ku mengurniakan satu nikmat yang lebih baik dari ladang mu dan menimpakannya dengan satu bencana dari langit hingga menyebabkan ladang-ladang itu menjadi tanah yang tandus dan licin. Atau air sungai ladang itu menjadi kering ditelan bumi menyebabkan kamu tidak akan dapat mencarinya lagi” ayat 37-41.
- Al Quran membuat satu perbandingan mengenai kehidupan dunia yang indah dan bagaimana ia musnah dengan cepat setelah berkembang dengan gemilangnya. “ Dan berilah satu perumpamaan tentang kehidupan dunia, ia laksana air yang Kami turunkan dari langit lalu tumbuhlah aneka tumbuhan bumi yang bersebati dengannya, kemudian ianya menjadi kering dan hancur ditiup angin dan Allah Maha Kuasa di atas segala sesuatu”. Ayat 45Kemudian al Quran membuat kesimpulan dengan menjelaskan nilai-nilai yang musnah dan nilai-nilai yang kekal. “Karta kekayaan dan anak pinak adalah hiasan kehidupan dunia, sedangkan amalan-amalan yang soleh yang kekal adalah lebih baik di sisi Allah, Tuhan mu dari segi balasan dan harapan”. Ayat 46
- Zul Karnain disebut bukan kerana dia seorang raja, tetapi beliau disebut kerana amal-amal solehnya. Ketika satu kaum yang ditemui beliau tinggal di antara dua tembok itu menawarkan kepada beliau membina sebuah tembok yang melindungi mereka dari serangan Ya’juj dan Ma’juj dengan upahan harta yang banyak, beliau telah menolaknya kerana memiliki kekuatan yang dikurniakan oleh Allah lebih baik dari harta yang ditawarkan oleh mereka. “Zul Karnain berkata, nikmat kekuatan yang dikurniakan Oleh Tuhan ku adalah lebih baik dari upahan mereka”. Ayat 95.Selepas selesai membina tembok tersebut, beliau mengembalikan kepada Allah bukan kepada kekuatan beliau sebagai manusia. “Zul Karnain berkata tembok ini adalah rahmat dari Tuhan ku dan apabila tiba janji Tuhan ku, Dia akan jadikannya hancur lebur dan sesungguhnya janji Tuhan ku itu adalan benar”. Ayat 98
- Pada penutup surah ini al Quran menjelaskan manusia yang paling rugi dan sia-sia amalanya ialah orang-prang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan kufur pertemuannya dengan Allah. Merekalah manusia yang tidak ada nilai langsung di sisi neraca Allah sekali pun menyangka mereka telah melakukan kerja-kerja yang baik. “Katakanlah adakah kamu suka Kami memberitahu kamu tentang orang-orang yang paling rugi amalan-amalannya . Iaitu orang-orang yang sia-sia segala usaha mereka dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan amalan-amalan yang baik. Mereka itulah orang-oramg yanh kufur ayat-ayat Allah Tuhan mereka dan pertemuan mereka dengan Nya lalu sia-sialah amalan-amalan mereka, oleh itu Kami tidak akan memberi apa-apa penilaian terhadap mereka”. Ayat 103-105.
Begitulah tema-tema yang menjadi pokok perbicaraan surah ini dijelaskan oleh Allah dengan jelas dan terang tanpa ada kesamaran dan keraguan.
