Posted by: ustaz Muhammad Ismail | Mei 24, 2010

Intro Juzuk ke 29

Juzuk ini merupakan satu juzuk sebelum juzuk terakhir dalam tertib susunan al Quran. ia mengandungi wasiat kepada semua umat Islam tanpa pengecualian, samada lelaki atau perempuan, dewasa atau muda samada ustaz, doktor, jurutera, nelayan ,petani, buruh malah pengganggur, semua umat Islam wajib berdakwah kepada agama Allah dan memakmurkan dunia dengan manhaj Islam.Tugas dakwah dan memakmurkan dunia dengan manhaj Islam bukan tanggungjawab cediakawan Islam atau ulama’ sahaja bahkan menjadi tanggungjawab setiap peribadi muslim yang mukallaf.

Rasulullah saw bersabda:

‘Ballighuu anni walau ayat’ (R.Bukhari)

Maksudnya: “Sampaikan dari ku walau pun satu ayat.”

Imam Ahmad bin Hanbal berkata; “Sesiapa yang mengetahui sesuatu masalah maka dia alim dengan masalah itu. Sebagai contoh jika seseorang mengetahui tentang solat maka dia wajib menyampaikan kepada manusia tentang solat.”

Ketika mana Syaidina Abu Bakar as Siddiq memeluk Islam dia telah berdakwah, sejak dari mula dia memeluk Islam. Buktinya pada hari pertama dia memeluk Islam dia berjaya menyeru enam orang rakan untuk memeluk Islam.Sejauh manakah ilmu Islam yang difahami dan dapat dikuasai oleh Syaidina Abu Bakar dalam tempoh tersebut?Justeru itu Islam adalah agama fitrah. Semua maani-maani dalam juzuk ke 29 menjuruskan kepada wasiat ini supaya kita menjadi pendakwah atau kun daieyan illalLah.

Seruan Pertama

Surah al Mulk mengajar kita perkara pertama yang wajib kita ketahui sebelum berdakwah adalah merasai kebesaran dan keagungan Kerajaan Allah SWT serta kekuasaan Nya. FirmanNya bermaksud “Maha suci Allah SWT yang menguasai segala kerajaan, dan Dialah Maha kuasa atas segala sesuatu” al Mulk; 1. Pengertian Maha suci Allah yang menguasai segala kerajaan yang menjadi intipati kepada perbincangan surah ini, dan ia juga menjadi isu yang paling utama dalam kerja dakwah kepada Allah SWT.

Ilmu dan jalannya.

Surah al Qalam menunjukkan kepada kita tentang kepentingan ilmu dan keperluan pemantapan ilmu dalam amal Islami.Kepentingan ilmu dalam kerja dakwah, dipertegaskan oleh Allah SWT melalui wahyu yang pertama diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw. firmanNya yang bermaksud “Bacalah dengan menyebut nama Tuhan Mu yang menciptakan”al ‘Alaq:1. Kemudian perintah supaya mengukuhkan ilmu pengetahuan melalui surah al Qalam, firmanNya yang bermaksud “Nun.Demi pena dan apa yang mereka tuliskan”al Qalam;1-2.

Adalah menjadi keaiban kepada umat Islam, kerana mereka umat yang diperintah supaya membaca ‘iqra’ tetapi mereka tidak membaca ‘la taqra’. Mereka diperintah mengukuhkan ilmu dengan menulis tetapi mereka tidak menulis.’la taktubu’. Jika kita mengimbau sejarah tamadun Islam, semasa kecemerlangannya semua ilmu ditulis oleh ulamak-ulamak Islam, buktinya perpustakaan yang tersebar di dunia ketika itu terletak di kota Baghdad. Maka dari sekarang siapakah yang sepatutnya mengambil berat dengan pembacaan dan siapakah yang sepatutnya mencatit dan menulis penemuan-penemuan ilmu baru..? kerana ilmu adalah buruan dan penulisan adalah jaringnya.

Qudwah pada rijal

Mencatit dan menulis ilmu menjadi fokus dalam surah al Qalam, dan akhlak juga sebahagian dari fokus surah ini. Akhlak daie merupakan magnet yang dapat menarik manusia kepada seruan mereka Firman Allah yang bermaksud “dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung” al Qalam;4.

Selepas ayat tersebut Allah mula mendedahkan siapakah yang sesat dari jalan Allah dan Dia menegaskan bahawa Dialah yang paling mengetahui siapakah yang mendapat hidayat daripadaNya? Seolah-olah membawa makna di sana terdapat dua kategori akhlak. Akhlak da’ie yang dipelopori oleh junjungan besar Nabi saw dan akhlak buruk dan keji yang menjadi tingkah laku orang-orang kafir. Dan seterusnya Allah menjelaskan pembalasan di akhirat tidak sama bagi kedua-dua pihak tersebut. FirmanNya bermaksud “Apakah patut Kami memperlakukan orang-orang Islam itu seperti orang-orang yang melakukan jenayah(kafir).Mengapa kamu berbuat demikian, bagaimana kamu mengambil keputusan” al Qalam 35-36.

Urusan Akhirat

Surah al Haqqah menanam maani yang amat penting dalam dakwah. Ia mesti dijadikan sebagai antara tema-tema yang sangat penting dalam dakwah samada sebagai motivasi dan peringatan kepada da’ie dan juga peringatan kepada semua manusia. Surah ini membentangkan kebenaran yang sempurna, iaitu Hari Akhirat itu suatu yang benar dan pasti berlaku, atau menyatakan benar itu benar dan menegaskan batil itu batil, padanya merealisasikan keadilan, padanya memperbetulkan neraca, padanya diberi buku laporan amalan samada dengan kanan atau dengan tangan kiri beruntunglah orang laporan dengan tangan kanan dan amatlah rugi orang yang menerimanya dengan tangan kiri. Perkataan ‘Haqqul Yakin’ membuktikan kebenaran al Quran yang memberi sepenuh keyakinan, firman Allah yang bermaksud “dan sesungguhnya al Quran itu adalah kebenaran yang memberi sepenuh keyakinan”ayat 51.

Kejutan kepada yang engkar

Keseluruhan surah al Haqqah dari mula hingga akhir ia memukul hati dan membentangkan suasana yang dahsyat. Samada ia mengetuk hati dengan penyataan yang keras, atau dengan bayangan azab yang dahsyat atau dengan pergerakan yang kuat pada setiap masa. Ini dapat kita lihat melalui ayat-ayat yang menggambarkan kaum-kaum terdahulu yang menolak agama Allah sebagai manhaj hidup dibinasakan oleh Allah swt seperti firmanNya yang bermaksud “Kaum thamud dan Add telah mendustakan Hari Qiamat yang amat menggemparkan itu. Adapun kaum Thamud, mereka telah dibinasakan dengan gempa yang amat dahsyat. Dan ada pun kaum ‘Add, mereka di binasakan dengan ribut taufan yang amat dingin dan kencang” ayat 4-6.

Ayat-ayat yang menggambarkan kedahsyat hari kiamat seperti firmanNya bermaksud “Apabila sangka kala ditiupkan sekali. Dan apabila bumi dan gunung-gunung diangkat dan dileburkan kedua-duanya serentak. Maka pada hari itu berlakulah kiamat”ayat 13-15.

Seterusnya menegaskan hakikat al Quran sebagai manhaj hidup yang diturunkan oleh Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril as kepada Nabi saw. Kesungguhan ini amat ketara dapat dilihat dalam isyarat sumpah Allah SWT dan dalam penjelasan hakikat agama terakhir ini. FirmannNya yang bermaksud “Tidaklah perlu Aku bersumpah dengan kejadian yang kamu nampak. Dan kejadian yang kamu tidak nampak. Sesungguhnya al Quran itu perkataan Rasul yang mulia. Dan ia bukannya madah seorang penyair, amat sedikit kamu beriman kepadanya.dan bukan pula perkataan kahin, amat sedikit kamu mengambil pengajaran darinya. Ia diturunkan dari Tuhan yang memelihara semesta alam” ayat 38-43.

Surah ini ditamat dengan penyataan yang jelas dan kata pemutus mengenai al Quran sebagai manhaj dakwah , beruntunglah sesiapa yang beriman dan menjadi al Quran sebagai manhaj hidup dan amatlah rugi mereka yang mendustai al Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya al Quran itu peringatan(tazkirah) kepada orang-orang yang bertaqwa. Dan sesungguhnya Kami benar-benar bahawa sebahagian dari kamu mendustakannya. Dan sesungguhnya al Quran memberi penyesalan kepada orang-orang kafir. Dan sesungguhnya al Quran itu adalah kebenaran yang amat diyakini. Kerana itu bertasbihlah dengan menyebut nama Tuhan Mu Yang Maha Besar” ayat 48-52.

Ibadat bekalan jalan dakwah

Surah al Maa’rij membicarakan tentang sifat-sifat orang-orang mukmin yang berijaya antaranya seperti khusyuk ketika solat dan memelihara solat, membayar zakat dan infaq, yakin dengan hari kiamat dan takut azab Allah, memelihara anggota kelamin kecauli dengan isteri-isteri mereka, memelihara amanah dan menunaikan janji, dan menjadi saksi dengan jujur. Sepertimana dalam surah al Qalam menjelaskan tentang akhlak da’ie(pendakwah) manakala surah ini menunjukkan tentang ibadat. Seolah-olah memberi maksud para da’ie mestilah mempunyai akhlak yang mulia dan mantap serta memiliki ibadat yang sohih.Firman Allah yang bermaksud “kecuali mereka yang mendirikan solat. Yang tekun mengerjakan solat mereka…….dan mereka yang memelihara amanah-amanah dan janji –janji mereka. Dan mereka menjadi saksi dengan jujur. Dan mereka memelihara solat mereka”ayat 22-34

Surah ini juga membentangkan tentang hakikat jiwa manusia dalam menghadapi kesusahan dan kesenangan. Tentulah ada perbezaan antara hati yang dipenuhi keimanan dengan hati kosong dari cahaya iman dari segi perasaan, tindak tanduk, sikap, dan balasan yang akan diterima. Ia juga membicarakan penghinaan yang akan diterima oleh orang-orang yang ingkar dan durhaka kepada Allah. Seterusnya ia menjelaskan tentang perbezaan nilai dan ukuran yang wujud dalam penilaian Allah SWT dengan penilaian manusia. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan tabiat cepat gelisah.Apabila dia ditimpa kesusahan dia menjadi cemas. Dan apabila dia diberi kesenangan dia menjadi kikir”ayat 19-21

Kehebatan al Quran dalam menanggani jiwa manusia.Ini dapat kita rasai ketika membaca al Quran bagaimana ia dapat menundukkan jiwa manusia di Mekah dan bagaimana ia memberi kesan kepada orang yang beriman mengikut pimpinannya. Dan Bagaimana al Quran menggunakan berbagai cara dan pendekatan yang mengkagumkan dalam menghadapi berbagai –bagai jiwa manusia.Antara pendekatan al Quran seperti mengemukakan dalil dan bukti, atau memukul kepercayaan dan keladak jahiliyah dengan pukulan yang menghancurkan, atau memujuk dengan pujukan yang menawan hati mereka, atau menakutkan mereka seolah –olah azab didepan mata dan menimpa mereka, atau memberi harapan yang indah kepada mereka, atau mendedahkan rahsia yang tersembunyi dalam lubuk jiwa mereka dan seterus nya menyedarkan mereka terhadap tindak tanduk dan emosi mereka yang tidak disedari. Firman Allah yang bermaksud “Iaitu hari mereka keluar dari kubur dengan tergesa-gesa,seolah-olah mereka menuju kepada berhala yang mereka sembah. Sedangkan mata mereka tunduk layu diselubungi kehinaan,itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka”ayat 43-44. Itulah antara kehebatan al Quran.Di mana kedudukan al Quran dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Laporan Akhir

Surah Nuh telah membentangkan kepada kita, satu contoh tauladan yang unggul seorang tokoh da’ie yang thabat meneruskan perjuang dakwah tanpa jemu dan putus asa menyampaikan risalah Allah kepada kaumnya. Tokoh tersebut ialah Nabi Nuh as. Ketika membaca surah Nuh, kita dapat merasai lapuran terakhir perjuangan dakwah Nabi Nuh as, setelah berjuang selama 950 tahun menghadapi kedegilan kaumnya yang hanyut dibelakang peminpin-peminpin sesat lagi menyesatkan kerana mereka memiliki kekuasaan, kekayaan dan pengaruh yang kuat.


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 28 other followers

%d bloggers like this: