Posted by: ustaz Muhammad Ismail | Jun 23, 2009

Ringkasan Seerah Rasulullah S.A.W

1. Nasab keturunan Rasulullah saw

Muhammad bin Abdullah bin Abd al Muttalib (asy-Syaibah) bin Hashim (Amru) bin Abd Manaf (al Mughirah) bin Qusai (Kilab) bin Murrah bin Kaab bin Lui bin Ghalib bin Fihr (Qurais pada beliau dinasabkan qabilah ini) bin Malik bin Nadhar (Qais) bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah (Amir) bin Alias bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan (anak kepada Nabi Ismail as)

Nasab ini disepakati semua ahli seerah.

2. Kelahiran Rasulullah saw

Baginda saw dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabi’ul awal tahun gajah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun571 masihi. Disebut tahun gajah kerana Abrahah al Asyram menyerang Mekah dan cuba meruntuhkan Kaabah, tetapi Allah menghancurkan tentera Abrahah dengan mengutuskan burung ababil seperti yang termaktub dalam surah al Fil.

Rasulullah saw telah dilahirkan di Syi’ab Bani Hashim. Lahir dalam keadaan yatim, bapanya Abdullah meninggal semasa ibunya mengandung dua bulan. Datuknya Abdul Muttalib memeliharanya. Adat resam arab, mereka mencari penyusu dari kawasan pendalaman, Baginda s.a.w diserahkan kepada Bani Saad bin Bakar iaitu Halimah binti Abi Zuaib suaminya al Harith bin Abdul al Qira (Abu Kabhsyah)

3. Peristiwa Pembedahan dada saw

Imam Muslim telah meriwayatkan hadis dari Anas ra bahawa Rasulullah telah didatangi Jibril as ketika baginda sedang bermain main dengan anak-anak lain. Jibril memegang baginda dan merebahkannya lalu dibelah dadanya dan dibawa keluar hati dan dikeluarkan segumpal darah dari dalamnya, dengab berkata; inilah bahagian tempat syaitan bersarang, setelah dicucikan hati baginda di dalam sebuah talam emas dengan air Zamzam, setelah itu disembuhkan semula badannya dan dibawa semula Rasulullah ke tempat anak-anak tadi, manakala anak-anak lain berlarian menemui ibunya Halimah menceritakan dengan kata mereka “Muhammad telah dibunuh” Apabila menemuinya semula mereka dapati baginda kepucatan.

4. Ibunya wafat dan dipelihara oleh datuknya

Selepas peristiwa pembedahan dada, Halimah ketakutan lalu segera menyerah Baginda kepada ibunya, ketika itu baginda berumur 5tahun. Baginda di bawah penjagaan ibunya selama setahun.Ibunya wafat semasa kembali dari menziarahi kubur bapanya di Yasrib. Ibunya dikebumikan di Abwa’. Rombongan ziarah disertai oleh baginda, khadamnya Ummu Aiman dan datuknya Abdul Muttalib. Selepas kematian ibunya baginda dipelihara oleh datuknya dengan penuh kasih sayang sehingga datuknya wafat, ketika itu baginda berusia 8 tahun.

5. Di bawah penjagaan bapa saudaranya Abi Talib

Abi Talib telah memikul tanggungjawab menjaga anak saudaranya dengan sebaik-baiknya, malah beliau lebih memberi keutamaan kepada baginda dari anak-anaknya sendiri dengan keistimewaan, penghormatan dan sanjungan dalam tempoh lebih dari 42 tahun. Beliau menyokong, melindungi dan membenarkan baginda bahkan sanggup bergaduh untuk baginda.

Beberapa peristiwa penting sebelum di utus menjadi Rasul

1. Baginda memelihara kambing

Baginda pada usia remajanya bekerja sebagai pengembala kambing keluarga Bani Saad dan di Mekah pula mengambil upah dari penduduk Mekah.

2. Bertemu Pendeta Buhaira

Semasa berusia 12 tahun, baginda keluar bersama bapa saudaranya berniaga ke Syam, ketika sampai di Basrah, seorang paderi bernama Jarjis yang dikenali sebagai Buhaira keluar untuk menemui mereka dan memuliakan mereka sebagai tetamu. Semasa bertemu dengan mereka lalu Buhaira memegang tangan baginda dan beliau berkata; inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Abi Talib bertanya dari mana tuan dapat matlumat ini? Buhaira menjawab tahukan kamu semasa kamu sampai di ‘al Aqabah’ semua batu dan pokok tunduk sujud kepadanya, sujud ini hanya berlaku kepada seorang Nabi sahaja, dan aku kenali pada baginda ‘Khatam al Nubuwwah’ penutup kenabian, ianya terletak di belakang baginda di bawah tulang duyung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat baginda tersebut dalam kitab kami. Seterusnya Buhaira meminta Abi Talib membawa baginda segera pulang ke Mekah dan jangan bawanya ke Syam kerana takut tindakan jahat Yahudi untuk membunuh baginda.

3. Peperangan al Fujjar

Peperangan ini berlaku ketika baginda berumur 14 atau 15 tahun. Berlaku antara gabungan Quraisy dengan Kinanah lawan gabungan Qais bin Ilan dengan Hawazin. Baginda terlibat dalam peperangan ini dengan menolong bapa saudaranya dengan menyediakan dan menghulurkan anak-anak panah kepada bapa saudaranya.

4. Perjanjian al Fudhul

Perjanjian ini telah diadakan pada bulan Zulkaedah. Kaum Quraisy yang terlibat antaranya Bani Hashim, Bani Zuhrah bin Kilab, Bani Tim bin Murrah, Abu Talib, Asad bin Abdul Uzza dan Baginda juga turut serta dalam perjanjian, mereka semua berkumpul di rumah Abdullah bin Jad’aan. Antara isi perjanjian semua bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaya yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya.Baginda turut memuji perjanjian tersebut dengan sabdanya “Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al Jad’aan, perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera.”

5. Meniaga harta Khadijah dan berkahwin dengan Khadijah

Setelah perkhabaran tentang kebaikan, kejujuran dan ketinggian akhlak Rasulullah sampai kepada Khadijah, tanpa berlengah beliau mengantar utusan, menawarkan kepada baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke Syam. Beliau menjanjikan perkongsian yang lebih baik dari apa yang pernah ditawarkan oleh peniaga lain kepada baginda. Rasulullah menerima tawaran Khadijah dan baginda ditemani oleh budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah dalam perniagaan ke Syam

Selepas Rasulullah kembali dari perniagaan di Syam harta Khadijah semakin bertambah dan berkat serta dijaga oleh Baginda dengan penuh amanah. Laporan yang diterima dari Maisarah tentang budi pekerti yang mulia, perwatakan yang lurus serta kebijaksanaan mengurus perniagaan, lalu Khadijah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Baginda kepada teman rapatnya Nafisah binti Manbah. Nafisah berjumpa denganRasulullah menyatakan hasrat Khadijah ingin berkahwin denganya. Baginda bersetuju untuk berkahwin dengan Khadijah. Baginda pun memberitahu bapa-bapa saudaranya persetujuannya untuk berkahwin dengan Khadijah lalu bapa-bapa saudara baginda pergi meminang Khadijah kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Baginda dengan Khadijah. Semasa perkahwinan umur Baginda 25 tahun dan Khadijah 40 tahun. Kesemua anak-anak Baginda adalah dari Khadijah r.a kecuali Ibrahim dari Mariah al Qibtiyah. Baginda berkahwin lain hanya selepas Khadiyjah r.a wafat.

6. Pembinaan semula Kaabah dan isu tahkim antara kabilah

Semasa Baginda berusia 35 tahun telah berlaku banjir yang besar di Mekah, air deras mengalir ke arah Kaabah dan hampir-hampir meruntuhkan seluruh struktur binaan Kaabah. Pihak Quraisy bersetuju membina semula Kaabah dan mereka membahagikan tugas binaan Kaabah mengikut kabilah. Setelah selesai pembinaan semula Kaabah, timbul perbalahan yang hampir membawa kepada peperangan antara kabilah tentang siapa yang sepatutnya meletakkan hajarul aswad pada tempatnya sehinggalah Abu Umaiyah bin al Mughirah memberi cadangan untuk menerima penyelesaian dari orang yang pertama masuk ke dalam masjid melalui pintu besar dialah yang akan menjadi hakim.

Dengan izin Allah, Rasulullah lah orang yang pertama masuk ke dalam masjid melalui pintunya, lalu mereka melaungkan itu pun al Amin, kami semua setuju dengan penyelesaian Muhammad. Baginda membentang sehelai kain dan meletakkan hajarul aswad di atas kain, lalu baginda memanggil ketua-ketua kabilah memegang hujung kain seterusnya meminta mereka mengangkatnya sehingga sampai tempatnya, seterusnya baginda sendiri mengangkat hajarul aswad dan meletaknya di tempat kedudukan asal hajarul aswd. Semua kabilah redha dengan cara penyelesaian Muhammad.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: