Posted by: ustaz Muhammad Ismail | Ogos 30, 2010

Badar Kubra bahagian 2

Malaikat mara… syaitan  undur

Para malaikat turut mara berperang bersama-sama tentera muslimin bagi menentang tentera kafir Quraisyy. Nabi Muhammad SAW nampak kedatangan Malaikat lalu bersabda: “Haza Jibrilu aakhizun bi ra’si farasihi alaihi adatun harbi” (Ini dia Jibril AS sedang menunggang kudanya, bersama senjata perang) (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW pun keluar daripada ‘aris’ (markaz) yang dibuat khusus untuknya sebagai panglima perang dan berkata: “golongan in pasti akan ditewaskan dan mereka akan undur ke belakang” (Al- Qamar: 45)

Manakala syaitan yang berada bersama-sama barisan tentera kafir Quraisyy terus lari, apabila melihat kedatangan Malaikat. Firman Allah SWT:

وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَّكُمْ ۖ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِّنكُمْ إِنِّي أَرَىٰ مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan ingatlah ketika syaitan menjadikan indah akan perbuatan mereka dan mengatakan tidak ada orang yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku adalah penolong kamu, maka setelah kedua-dua pasukan bertentang mata, syaitan terus lari ke belakang seraya berkata sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, sesungguhnya aku melihat apa yang kamu tidak dapat lihat, sesungguhnya aku takut kepada Allah dan di sisi Allah azab yang amat keras” (Al-Anfal: 48)

Tentera Islam sebagai tabir kekuasaan Allah dan mendapat pahala

Allah SWT bersama-sama dengan tentera Muslimin pimpinan Rasulullah SAW. Kemenangan adalah kurniaan daripada Allah SWT. Atas arahan Allah SWT, para Malaikat dengan patuh datang membantu tentera Muslimin. Firman Allah SWT:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankan-Nya bagimu sesungguhnya Aku akan menurunkan bantuan kepadamu dengan seribu  Malaikat yang berduyun-duyun. Dan Allah tidak jadikannya melainkan berita gembira agar hatimu menjadi tenang kerananya, dan kemenangan itu hanyalah dari Allah SWT, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ” (Al-Anfal : 9-10)

Punca kekalahan tentera musyrikin Quraisyy adalah perasaan takut yang Allah SWT campakkan ke dalam hati mereka, dan Malaikat yang memenggal kepala mereka. Allah SWT berfirman:

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آمَنُوا ۚ سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ

“Ingatlah ketika Allah mewahyukan kepada para Malaikat, sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhlah pendirian orang-orang beriman, kelak aku akan campakkan perasan takut ke dalam hati orang-orang kafir, maka pukullah leher mereka dan pukullah tiap-tiap ujung jari mereka” (Al-Anfal: 12)

Di dalam alam realiti, apa yang berlaku di kalangan manusia, yang berkaitan dengan ‘qudratulLah’ (kuasa Allah) adalah sesuatu yang tersembunyi dari penglihatan mata manusia. Allah SWT tidak perlu menyatakan sebab-sebabnya. Agar akal manusia dapat menerima apa yang berlaku, dan mereka tidak sekadar  ‘tawakul’ (berserah) tanpa berusaha, atau duduk berdiam diri menunggu berlakunya mukjizat. Oleh itu ’ Al-Haq’ (kebenaran) mesti ada tentera dari kalangan manusia yang mendokong dan mempertahankannya. Mereka sebagai tabir kepada perlaksanaan qudratulLah ke atas musuh-musuhnya. Justeru itu Allah SWT mengurniakan kepada mereka kemenangan dan ganjaran syurga.

Ketika mana tentera musyrikin berada di depan tentera muslimin, Baginda SAW memerintah tenteranya bertempur, sebagaimana diriwayatkan daripada Anas RA: “qumu ila jannatin a’rdhuhas samawatu wal ardhu” (Bangunlah kamu ke syurga yang terbentang luasnya langit dan bumi). Kata Amru bin Jumah Al-Ansari RA: “Ya Rasulullah jannatu a’rdhuha samawatu wal ardhu?” (Wahai Rasulullah, syurga yang terbentang luasnya langit dan bumi). Jawab Rasulullah “Naam” (Ya). Lalu Amru RA berkata “bakhin! bakhin!” (ibarat yang menunjukkan kagum dengan sesuatu). Baginda SAW bertanya: “Ma yahmiluka ala qaulika bakhin bakhin?” (apa yang menyebabkan kamu berkata demikian). Amru RA menjawab: “La walLahi ya rasulullah illa raja’a an akuna min ahliha” (Demi Allah tidak ada apa, melainkan aku mengharapkan bahawa akulah dikalangan ahli syurga). Baginda SAW menjawab: “Fa innaka min ahliha” (Maka sesungguhnya kamu menjadi ahli syurga). “Fa akhraja tamaraatin min qaranihi, fa jaala yakulu minhunna” (Maka dia mengeluarkan buah kurma dari bekasnya lalu ia pun makan).  kemudian dia (Amru RA) berkata: “La in ana hayitu hatta akala thamarati hazihi, innaha la hayatun thowilatun” (Aku masih sempat makan buah-buah kurma ini, aah sesungguhnya ini adalah kehidupan yang panjang). “summa rama bi ma kana maa’hu minat tamari summa qatalahum hatta qutila” (Kemudian dia melontar semua buah kurma ke tanah lalu ia segera bertempur di medan perang sehingga terbunuh). (Riwayat Ahmad)

Pelampau-pelampau binasa, Orang-orang baik mendapat syahid

Allah SWT telah mencampak perasaan takut ke dalam hati tentera musyrikin. Seterusnya Allah SWT memerintah Malaikat memukul leher orang kafir Quraisyy. Ibbu Abbas menceritakan bahawa ketika seorang tentera Islam sedang bertempur dengan tentera Quraisyy ia terdengar pukulan yang berbunyi seperti pukulan tali cemeti dan bunyi seperti orang memacu kuda sambil berkata Ayuh mara Khaizum (nama kuda yang ditunggang oleh Malaikat). Tentera tersebut melihat musuh yang di hadapannya jatuh kerkulai tidak bernyawa lagi dan hidungnya hancur serta mukanya pecah seperti terkena pukulan cemeti. Maka lelaki Ansar menceritakan kepada Rasulullah SAW apa yang berlaku. Baginda SAW menjawab: “Sadaqta zalika min madadis sama’i as salisati” (Cerita kamu benar, itu adalah bantuan dari petala langit ketiga). Seramai 70 orang tentera musyrikin Quraisyy terbunuh, dan 70 orang lagi menjadi tawanan perang. (Riwayat Muslim)

Seorang lelaki daripada kalangan Ansar berjaya menawan Al-Abbas bin Abdul Mutalib lalu di bawa kepada Baginda SAW. Al-Abbas berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bukan dia yang menawan aku, aku ditawan oleh seorang lelaki yang botak di depan kepalanya dan paling kacak di kalangan manusia, yang menunggang kuda bertompok hitam dan putih di badannya dan bukan dari kalangan kamu”. Lelaki Ansar tadi berkata lagi: “Aku yang menawan dia”. Baginda SAW bersabda: “Uskut, faqad ayyadakalLahu Taala bi malakin karimin” (Diam! Sesungguhnya kamu dbantu oleh Malikat yang mulia). (Riwayat Ahmad)

Abdul Rahman bin Auf RA menceritakan bahawa ketika Badar dia berada dalam saf tentera Muslimin: “Bila aku lihat di kanan dan kiri ku, dua belia yang masih muda. Maka salah seorang telah berkata kepada ku: “Wahai pakcik! Kamu kenal Abu Jahal”. Aku menjawab: “Ya wahai anak ku! Kenapa kamu mencari dia?”. Lalu ia menjawab: “Aku mendengar cerita dia selalu menghina dan memaki Nabi SAW. Demi Allah yang nyawaku di dalam gengaman-Nya, sekiranya aku berjumpa dengan dia, nescaya aku tidak berenggang dan berpisah darinya sehingga dia mati atau aku mati”. Aku merasa kagum dengan anak muda itu. Kemudian aku disapa oleh seorang lagi anak muda dengan soalan yang sama, tiba-tiba aku ternampak Abu Jahal di tengah-tengah tentera musyrikin, lalu aku berkata kepada mereka berdua: itu dia Abu Jahal, orang yang kamu berdua cari-cari. Mereka berdua pun terus menerkam ke arah Abu Jahal dengan pedang terhunus, dan terus menikam Abu Jahal serentak, matilah Abu Jahal. Selepas itu mereka berdua  segera pergi berjumpa dan menceritakan apa yang berlaku. Rasulullah SAW bertanya “ayyukuma qatalahu” (siapa di antara kamu yang membunuhnya). Kedua-duanya menjawab: Saya yang bunuhnya. Nabi SAW terus bertanya “hal masahtuma saifaikuma?” (Adakah kamu berdua telah mengesat pedang?) Kedua-dua menjawab: belum lagi. Lalu Nabi SAW berkata “kilakuma qatalahu” (kamu berdua telah membunuh Abu Jahal). Ayuh tunjukkan kepadaku di mana jasad Abu Jahal. Kami pun pergi ke tempat jasad Abu Jahal dibunuh dan menunjukkan kepada Nabi SAW. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud “Inilah dia Firaun umat ini”. (Riwayat Bukhari)

Selepas tamat perang, Nabi SAW memerintah supaya 24 orang dikalangan pembesar Quraisyy dikambus dalam lubang yang penuh kotoran. Pada hari ketiga selepas perang Badar, Baginda SAW memerintahkan sahabat-sahabatnya bersiap sedia untuk berangkat pulang ke Madinah. Selepas siap Rasulullah SAW pergi ke tempat kambusan bangkai kafir Quraisyy lalu Baginda SAW berdiri di tepi lubang dan menyeru nama-nama mereka dan nama bapa-bapa mereka: “wahai pulan bin pulan! Wahai pulan bin pulan, adakah menggembirakan kamu kerana kamu telah mentaati Allah dan RasulNya? Sesungguhnya kami dapati apa yang dijanjikan oleh Tuhan kami adalah benar, dan apakah kamu dapati apa yang  Tuhan kamu janjikan benar?” Lalu Syaidina Umar Al-Khatab RA bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apakah tuan hamba bercakap dengan jasad-jasad yang tidak bernyawa?” Rasulullah SAW menjawab: “Kamu tidak lebih mendengar dari mereka, cuma mereka tidak dapat menjawab”. Kata Qatadah: “Allah telah menghidupkan mereka supaya mereka ketika itu supaya dapat mendengar ucapan Rasulullah SAW sebagai penghinaan dan penyesalan yang merugikan mereka”. (Riwayat Bukhari)

Jumlah tentera Islam yang syahid adalah seramai 14 orang, 6 daripada orang Muhajirin dan 8 lagi daripada oran Ansar.

Syahid Kita ke Syurga , korban mereka ke Neraka

Di antara yang mendapat syahid dalam peperangan Badar ialah Harithah bin Suraqah RA. Rasulullah SAW berkata kepada ibunya: “Ya Ummu Harithah, innaha jinanun fil jannah, wa innabnaki asabal firdausil a’la” (Wahai Ummu Harithah, sesungguhnya taman-taman di dalam syurga, dan anak kamu mendapat syurga firdaus yang tinggi). (Riwayat Bukhari). Semua syuhada’ Muslimin mendapat balasan syurga.

Manakala tentera Quraisyy yang terbunuh semasa perang Badar, mereka dicampak ke dalam neraka sebagai tempat tinggal. Ibnu Abbas RA menerangkan maksud firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang menukar nikmat-nikmat Allah dengan engkar kepada Allah” (Ibrahim: 28), katanya: “Demi Allah mereka adalah kafir Quraisyy”. Kata Amru bin Dinar RA: “mereka Quraisyy dan Nabi SAW mendapat nikmat Allah”. Firman Allah SWT yang bermaksud: “menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan” (Ibrahim: 28), kata Ibnu Abbas: “neraka di peperangan Badar”. (Riwayat Bukhari)

Jihad perisai Dakwah dan kemuliaan

Allah SWT telah memberi kemenangan kepada tentera Islam yang dipimpin oleh Baginda SAW. Hasil daripada kemenangan tersebut, ubudiah kepada Allah SWT di dunia ini berterusan, dan dakwah juga semakin berkembang serta terus hidup. Sebahagian besar tenaga dakwah masih selamat. Ada pun yang menjadi syuhada’, mereka terkorban dan mendapat kemuliaan iaitu syurga. Begitu juga tentera yang selamat, mereka juga hidup dengan kemuliaan, mereka bekerja untuk Allah SWT dengan pimpinan Baginda SAW dan berpegang teguh dengan kitabuLlah. Mereka berjanji untuk terus berjihad bagi  menegakkan agama Allah SWT dan mereka tidak pernah merasa takut untuk mati dalam perjuangan di jalan Allah SWT, bahkan mereka sentiasa bercita-cita untuk mati fisabiliLah.

Di sini bergembira di sana berdukacita

Sebaik sahaja tentera Muslimin mencapai kemenangan. Baginda SAW mengutus dua orang sahabatnya bagi menyampaikan berita gembira kemenangan tentera muslimin dalam peperangan Badar. Abdullah bin Rawahah RA diutus kepada penduduk di Al-Aliah, sementara Zaid bin Harith RA pula diutus kepada penduduk As-Safilah. Setelah penduduk Madinah mendapat khabar kemenangan tentera Islam, seluruh pelusuk Madinah bergema dengan takbir (Allahu Akbar) dan tahlil (La ila ha illalLah).

Manakala penduduk Mekah pula, berita kekalahan mereka di medan Badar amat menyakitkan. Ia memberi kesan yang mendalam dalam jiwa mereka. Namun, mereka melarang sebarang teriak tangis tanda perkabungan untuk mengelak ejekan kaum Muslimin.

Semua posisi dalam saf adalah penting

Pembahagian tugas dalam saf tentera Islam adalah satu perkara yang tabi’e. Secara logiknya, bukan semua tugas di dalam peperangan itu sama, iaitu semua kena bertempur dengan musuh. Tetapi, perlu ada yang bertempur dengan musuh, perlu ada yang menjaga bekalan makanan, perlu ada yang menjaga keselamatan panglima perang dan sebagainya. Mekanisma pembahagian harta rampasan perang Badar menjadi bukti bahawa setiap posisi dalam saf tentera Muslimin adalah penting. Begitu juga semua tentera Allah SWT yang berjuang untuk menegakkan dakwah Islam, tanpa  mengira apa pun posisi dalam gerakan dakwah, baginya ganjaran amal jamaie.

Ubadah bin As-Somit RA menceritakan: “Kami keluar bersama-sama Rasululllah SAW dalam peperangan Badar. Setelah pertempuran berlaku di antara dua pihak dan berakhir dengan kekalahan musuh Allah, malah ada sebahagian tentera memburu saki-baki musuh yang lari bertempiaran menyelamat diri masing-masing. Sebahagian yang lain pula mengumpul harta yang ditinggalkan oleh musuh, manakala sebahagian yang lain sedang mengawal di sekeliling Nabi SAW dengan mempertahankan Baginda SAW dari diserang, sehinggalah tiba waktu malam semua tentera berkumpul di satu tempat. Orang yang mengumpul harta rampasan berkata: “kamilah yang berhak ke atas harta rampasan, orang tidak berhak”. Kemudian kumpulan yang memburu tentera musuh berkata: “kamilah yang lebih berhak kerana kamilah yang memburu musuh habis-habisan dan menghalang mereka”. Selepas itu kumpulan yang mengawal Rasulullah SAW berkata: “kami ini mengawal Nabi SAW, takut-takut Baginda diserang oleh musuh”. Dalam kami sibuk berbalah antara satu sama lain, lalu turun firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَنفَالِ ۖ قُلِ الْأَنفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Mereka bertanya kamu mengenai harta rampasan perang, katakanlah harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertaqwalah pada Allah dan perbaikilah hubungan di antara kamu, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman” (Al-Anfal: 1).

Allah SWT menegaskan dalam surah Al-Anfal, bahawa harta rampasan adalah hak Alllah SWT dan Rasul-Nya SAW. Allah SWT telah menentukan cara pembahagiannya dan Rasulullah SAW yang membahagikan harta rampasan perang berdasarkan perintah Allah SWT. Begitulah Allah menyelesaikan perebutan harta rampasan perang dikalangan tentera Islam. Semua posisi dalam saf tentera Islam menerima dan taat dengan perintah tersebut. Inilah tarbiah amaliah yang dapat memantapkan pengertian bahawa setiap orang yang berada dalam saf Islam ada nilainya, bahkan semua posisi dalam saf Islam atau gerakan dakwah adalah penting. Setiap amal yang disumbangkan untuk merealisasikan objektif Islam adalah penting tanpa mengira samada kecil atau besar. Kejayaan Islam tidak akan sempurna kecuali dengan menunaikan semua kerja-kerja tersebut. Oleh itu, jangan kita memandang kecil sesuatu amal maaruf yang disumbang oleh seseorang individu dalam gerakan dakwah. Begitu juga seseorang individu tidak boleh meletak syarat bahawa dia hanya boleh beramal dalam posisi-posisi tertentu sahaja. Boleh jadi maslahah dakwah atau maslahah Islam dapat di capai jika dia memberi tenaga di posisi lain.

Islam adalah Rahmat dan Keadilan

Rasulullah SAW berisytisharah (meminta pendapat) dengan sahabat-sahabatnya dalam mengendalikan isu tawanan perang. Abu Bakar As-siddiq RA mencadangkan supaya Baginda SAW menerima wang tebusan daripada tawanan, dengan alasan hubungan kerabat, dan dapat hasil dari wang tebusan tersebut serta dengan harapan bahawa suatu hari nanti tawanan-tawanan akan memeluk Islam. Ibnu Abbas RA meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar dan Umar apa pandangan kamu berdua tentang tawanan perang?” Abu Bakar RA berkata: “Wahai Rasulullah SAW, mereka itu adalah anak-anak saudara dan sanak saudara, juga taulan, berikan mereka peluang untuk ditebus; dengan nilai yang kita ambil itu akan menjadi kekuatan untuk menentang kuasa kufar, dan semoga Allah memberi taufiq dan hidayat kepada mereka memeluk Islam”. (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW berkata: “apa pendapat kamu wahai Umar?”. Umar RA berkata: “tidak demi Allah wahai Rasulullah! Pendapat aku tidak sama dengan pendapat Abu Bakar, bagiku serahkah sahaja orang yang terdekat dengan Umar untuk ku pancung lehernya, serahkah Uqail kepada Ali untuk dipancung lehernya, dan serahkan kepada Hamzah saudaranya untuk dipancung lehernya, supaya Allah mengetahui bahawa di hati kita ini, tiada sedikit pun kasihan belas terhadap kaum musyrikin, mereka ini semua adalah pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua musyrikin”. Rasulullah SAW lebih cenderong kepada pendapat Abu Bakar dari aku. (Riwayat Muslim)

Pendapat Abu Bakar As-Siddiq RA lebih menonjolkan aspek rahmat dalam Islam, manakala pendapat Umar Al-Khatab RA lebih menonjolkan aspek keadilan.

Dunia di tangan bukan di hati.

Rasulullah SAW memutuskan untuk menerima wang tebusan dalam isu tawanan perang ini. Selepas itu, turun wahyu yang menjelaskan bahawa orang yang memerangi Rasul adalah tidak sama dengan orang yang memerangi selain Rasul. Kurniaan Allah SWT kepada umat Islam dalam menyelesaikan isu tawanan perang dengan memberi dua keuntungan iaitu dunia dan akhirat. Dalam peristiwa tawanan Badar, keputusan Nabi SAW menerima wang tebusan hasil daripada bermesyuarat dengan Syidina Abu Bakar RA dan Syaidina Umar RA adalah rahmat. Selepas keputusan itu diambil oleh Baginda SAW, datang wahyu yang mengiktiraf keadilan yang dicadang oleh Umar al Khatab RA, dan seterusnya ia menjadi hukum dalam perkara tersebut. Ini kerana mereka menawan kaum musyrikin sebelum Islam berkuasa di dunia, selain itu, tawanan tersebut adalah dari kalangan ketua-ketua dan kepala-kepala kaum, yang juga sejahat-jahat penjenayah perang. Tawanan seperti ini tidak akan dibiarkan bebas begitu saja tanpa dihukum oleh undang-undang moden, di mana dalam kes seperti ini, kebiasaannya akan dibunuh atau ditahan sehingga mati.

Syaidina Umar Al-Khatab RA menceritakan: “keesokan hari aku telah pergi berjumpa Rasulullah SAW dengan Syaidina Abu Bakar RA sedang mereka berdua menangis, aku berkata: “Wahai Rasulullah SAW, ceritakan kepadaku apakah yang menyebabkan kamu berdua menangis? Sekiranya perlu menangis, aku pun akan menangis sama. Jika aku tidak menangis, aku akan paksa diriku menangis”. Jawab Rasulullah SAW: “Aku menangis ini kerana perkara yang dicadangkan oleh sahabatmu itu, iaitu menerima wang tebusan telah ditolak, sebaliknya aku disarankan supaya membunuh mereka dekat dengan pokok itu”. Dan Allah telah menurunkan wahyu:

مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَكُونَ لَهُ أَسْرَىٰ حَتَّىٰ يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ ۚ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

لَّوْلَا كِتَابٌ مِّنَ اللَّهِ سَبَقَ لَمَسَّكُمْ فِيمَا أَخَذْتُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Tidak seharusnya bagi seseorang nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi, kamu menghendaki harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki akhirat untuk kamu dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tiada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah nescaya kamu ditimpa siksaan yang besar kerana apa yang kamu ambil. Maka makanlah dari sebahagian rampasan yang kamu perolehi itu, sebagai makanan yang halal lagi baik” (Al- Anfal: 67-69).

Maka Allah telah menghalalkan ghanimah kepada mereka”. (Riwayat Muslim)

Tadhiyah bukan mencari faedah

Ayat 67-69 Surah Al-Anfal ini merupakan sebahagian daripada rawatan dan penyempurnaan pertarbiahan, kerana kemungkinan tentera yang menang dalam peperangan lebih tertarik dengan habuan dunia. Fenomena ini jelas ketara sehingga menjadi sebab perselisihan dan perebutan dikalangan tentera Islam dalam isu pembahagian harta rampasan perang. Dan kemungkinan, tarikan dunia juga meresap dalam hati tentera muslimin melalui penerimaan wang tebusan dari tawanan perang Badar.

Justeru, di antara kaedah dalam dakwah, kita diminta supaya berkorban tanpa mengharapkan apa pun pulangan dunia, melainkan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Wallahu ‘alam


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: