Posted by: ustaz Muhammad Ismail | Mei 18, 2011

Ringkasan Surah al Fatihah dari Kitab Madarijus Salikin

Fasal Pertama

Ringkasan Kitab Madarijus Salikin (Ibnu Qayyim)

  • Intipati kandungan Surah al Fatihah mencakupi tuntutan yang tinggi.

1. Ianya mengandungi pengenalan kepada ubudiyah, iaitu memperkenalkan kita kepada Allah  melalui 3 nama yang besar daripada asmaulhusna dan sifat-sifat yang tinggi.   a. Allah  b. Rabb  c. Ar-Rahman. Uluhiyah (hanya Allah sahaja yang layak disembah) ia terkandung di dalam ayat “iyyaka na’bud “ . Ada pun Rububiyah (hanya Allah sahaja yang layak kita pohon pertolongan) ini dalam ayat “iyyaka nastaiin” manakala sifat ar Rahmat terkandung dalam perkataan “as sirathal mustakiim” kerana sifat rahmatlah yang menghalang Allah dari cuai atau membiarkan hambanya tanpa memberi hidayah.

2. Ia mengandungi isbat  atau mewartakan hari pembalasan. Pada hari tersebut, hanya Allah swt yang menjadi hakim, tidak ada campurtangan daripada mana-mana pihak atau mana-mana makhluk.

3. Ia mewartakan kewujudan an-nubuwwah. Allah tidak akan membiarkan manusia tanpa petunjuk. Petunjuk itu hanya boleh didapati melalui pengutusan Rasul. Ia juga menerangkan bahawa menghidupkan hati dan ruh ‘ihya al-qulub wa arwah’ lebih baik dan agung dari kehidupan jasad dan fizikal, yakni kehidupan yang lebih agung di sisi Allah.

4. Allah menyuruh kita supaya meminta hidayah. Hidayah ada berbagai-bagai jenis.

ñ Hidayah keterangan dan dalil. Ini berlaku dengan cara pengutusan rasul untuk menjelaskan tentang hak dan batil,  juga memberi petunjuk daripada kegelapan kepada cahaya.

ñ Hidayah taufiq dan ilham. Ini amat penting supaya kita  dapat beristiqamah di atas jalan Allah. Setiap hamba yang beriman, sesungguhnya Allah telah memberi ilham dan petunjuk kepadanya, ia dicapai melalui keimanan.

ñ Hidayah pada Hari Kiamat. Iaitu petunjuk jalan ke syurga. Sesiapa yang mendapat petunjuk di dunia ke jalan yang lurus, maka dia akan mendapat petunjuk jalan ke syurga. Begitu juga sejauh mana seseorang itu beristiqamah di atas jalan yang lurus semasa hidup di dunia,maka sekadar itulah Allah akan permudahkan jalannya ke syurga. Firman Allah yang bermaksud “dan barang siapa membawa kejahatan, maka disungkurkan muka mereka ke dalam api nereka, kamu tidak akan di beri balasan melainkan setimpal dengan apa yang telah kamu kerjakan” An Naml;90

Maksud kita meminta hidayah adalah:-

ñ Kita mencapai semua kebaikan(alhusulu ala kulli khair)

ñ Kita sejahtera daripada semua kejahatan( al salamatu min kulli syar)

5.Mereka yang diberi nikmat dan mereka yang dimurkai oleh Allah.

Manusia dikategorikan di sisi Allah SWT mengikut sejauh mana  mereka mengetahui kebenaran dan beramal dengan kebenaran. Terdapat berbagai-bagai jenis manusia antaranya:-

ñ Tahu atau jahil dengan kebenaran.

ñ Tahu kebenaran samada beramal dengan kebenaran atau mencanggahi kebenaran

ñ Tahu kebenaran dan tidak beramal dengan kebenaran

ñ Jahil, yang sesat

ñ Orang yang diberi nikmat. Adalah orang yang tahu kebenaran dan beramal dengannya.

ñ Orang yang dimurkai oleh Allah. Adalah orang yang tahu kebenaran tetapi mengikut hawa nafsu.

ñ Orang yang sesat ialah orang yang jahil dengan kebenaran. Firman Allah SWT yang bermaksud “Katakan Muhammad,wahai ahli kitab! janganlah kamu melampau dalam agama kamu dengan cara yang tidak benar, dan jangan kamu mengikuti keinginan keinginan orang-orang yang telah tersesat dahulu dan telah menyesatkan ramai manusia dan mereka sendiri sesat dari jalan yang lurus“  (Al-Maidah, 77)

ñ Hadith riwayat Adi bin Hatim, Rasulullah bersabda “Yahudi adalah orang yang dimurkai ke atas mereka, dan nasara adalah orang yang sesat“

Allah telah meletakkan nikmat itu disandarkan kepadaNya  melalui firmanNya “an’am ta alaihim“ Dan Allah telah membuangkan perbuatan ghadhab ‘marah‘ pada lafaz “ghair il ma’dhu bi alaihim“. Baik itu adalah dinisbahkan kepada Allah, kejahatan itu tidak dinisbahkan kepada Allah. Allah telah mengkhususkan orang yang mendapat petunjuk dengan nikmat adalah orang yang sentiasa berjaya.

Nikmat ke atas mereka mengandungi nikmat hidayah, iaitu ilmu yang bermanfaat dan amal soleh serta petunjuk kepada agama yang benar. Sempurnanya nikmat itu dengan balasan yang baik.

Perhatikan titik pertemuan antara hidayah dengan nikmat dan antara murka dengan sesat. Terdapat banyak ayat-ayat al Quran yang menghimpunkan antara “al huda“ pentunjuk dengan “al falah“ berjaya seperti ayat 5 dari surah al Baqarah yang bermaksud “Mereka yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya“

Begitu juga al Quran menghimpunkan antara “ad dhalal“ sesat dengan “as syaqa‘“ derita. Ini dapat kita perhatikan dalam firman Allah yang bermaksud “Allah telah mengunci hati, dan pendengaran  serta penglihatan mereka menjadi tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang besar“ al Baqarah;7.

Allah juga mengumpul kesemua sifat itu dalam satu firman yang bermaksud “Dan Allah berfiirman,Turunlah ! kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, jika datang petunjuk dari Ku maka barang sesiapa yang mengikut petunjuk Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan binasa. Dan barang sesiapa yang berpaling dari peringatan Ku, maka sungguh dia akan menjalankan kehidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkanya pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata ‘Ya Tuhanku! Mengapa Engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta pada hal dahulu aku dapat melihat. Allah berfirman, demikian dahulu telah datang kepada mu ayat-ayat Kami, dan kamu telah mengabaikannya jadi begitu pula pada hari ini kamu diabaikan“ Taha;123-126


Tinggalkan komen

Kategori