Posted by: petugasisma | Januari 4, 2010

Sambungan Tafsir Surah al-Kahfi ayat 9-18

Mukaddimah

Cerita  Ashabul Kahfi  ditayangkan  sebagai contoh keimanan yang mantap dan kukuh di dalam jiwa orang-orang beriman.

Bagaimana  mereka begitu teguh dan yakin dengan keimanan sehingga mereka lebih mengutamakan keimanan dari semua perhiasan dan kesenangan hidup di dunia. Ketika mereka merasakan begitu sukar dan sulit untuk  melaksanakan tuntutan keimanan  dalam lingkungan kehidupan  masyarakat, mereka sanggup berlindung dalam sebuah gua yang sempit demi memelihara keimanan.

Bagaimana Allah SWT memelihara orang-orang yang beriman dan menyelamatkan mereka dari penindasan serta mengurniakan kepada mereka dengan limpahan rahmatNya.

Kisah Ashabul Kahfi  dicerita dan diriwayatkan dengan  berbagai-bagai pendapat. Ada cerita yang berbentuk dongeng dalam buku-buku lama.

Kami hanya menerima apa-apa yang diterangkan oleh Al Quran sahaja dalam membicarakan kisah ini kerana ia adalah satu-satunya sumber yang diyakini kebenarannya.

Kami juga mengenepikan semua cerita atau riwayat  dongeng yang tidak mempunyai sanad yang sahih dari menyusup ke dalam  kitab-kitab tafsir.

Al Quran sendiri melarang dari mendengar dan mengambil  kisah ini dari sumber-sumber lain, kerana ia adalah urusan ghaib.

Ada riwayat yang menyebut  sebab turunnya kisah ini dan kisah Zul  Qarnain. Orang-orang Yahudi telah menghasut orang-orang Qurais Mekah bertanya kepada Rasulullah saw  mengenai dua kisah iaitu mengenai hakikat ruh atau orang-orang Qurais Mekah meminta dari orang-orang Yahudi membuat soalan supaya mereka dapat menguji Rasulullah saw. Mungkin semuanya atau sebahagiannya benar kerana pada permulaan kisah Zul Qarnain disebut “ dan mereka bertanya kepada mu tentang Zul Qarnain, jawablah aku akan bacakan kepada sebahagian dari ceritanya” ayat;83.

Tetapi ia tidak pula menyebut pada kisah Ashabul Kahfi. Oleh itu kami akan menceritakan apa yang disebut dalam surah ini.

Cara Penceritaan

Pembentangan kisah Ashabul Kahfi  disudut kesenian dapat dilihat,

–           Pertama ia membentangkan saringan kisah secara ringkas

–           Kedua ia membentangkan cerita secara terperinci.

Ia dibentangkan dalam bentuk pemandangan-pemandangan dan dicelah-celah pemandangan-pemandangan itu ditinggalkan ruang-ruang kosong yang dapat difahami melalui susunan-susunan ayat. Ia bermula;

Saringan Ringkas Ayat

Apakah kamu mengira kisah Ashabul kahfi dan ar Raqim itu sahaja merupakan satu bukti yang menakjubkan diantara bukti-bukti kekuasaan Kami yang lain”ayat 9

“Kenanglah ketika pemuda-pemuda itu berlindung di sebuah gua lalu mereka berdoa Wahai Tuhan Kami! Kurniakan kami rahmat Mu yang melimpah dan sediakan untuk kami kemudahan taufiq dalam urusan Kami”ayat 10

“Lalu Kami tidurkan mereka di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya” ayat 11

“Kemudian kami bangkitkan mereka dari tidur itu untuk Kami ujikan siapakah di antara dua golongan itu yang lebih tepat kiraannya tentang lama mana mereka tinggal di sana”ayat 12

Inilah saringan kisah secara ringkas

Di dalam saringan ini Allah telah menggambarkan   isi-isi  asas kepada kisah yang panjang lebar antaranya:

–           Kita dapat mengetahui penghuni gua itu terdiri dari pemuda-pemuda yang beriman yang berlindung di sebuah gua dan         Allah telah menidurkan mereka bertahun-tahun lamanya.

–           Kita tidak tahu berapa ramai pemuda-pemuda tersebut dan berapa lama mereka ditidurkan.

–           Kita mengetahui mereka dibangkitkan semula dari tidur yang lama  supaya dapat diketahui  siapakah diantara  dua  golongan yang sedang bertelagah pendapat mengenai mereka yang lebih teliti kiraannya.

Walaupun kisah Ashabul Kahfi  ini merupakan kisah yang ajaib dan aneh tetapi ia bukanlah satu-satunya bukti kekuasaan Allah SWT yang paling ajaib dan aneh, kerana dari lembaran-lembaran dan dicelah-celah alam buana ini terdapat berbagai-bagai keajaiban dan keanehan yang  lebih hebat dari kisah ini.

Perincian Cerita

Setelah kita mengikuti saringan cerita yang menarik, ayat-ayat berikut mula membentangkan  dan menceritakan kisah  ini secara terperinci.

Ia bermula dengan  penegasan bahawa apa yang diceritakan oleh Allah SWT mengenai kisah ini, ia adalah keterangan yang muktamad dan keterangan yang diyakini kebenarannya.

Ayat-ayat Perincian

“Kami menceritakan kisah ini pada mu, cerita mereka yang sebenar.Mereka adalah pemuda-pemuda yang telah beriman kepada Allah, Tuhan mereka dan Kami telah menambahkan lagi hidayat kepada mereka”

ayat 13

“dan Kami telah meneguhkan hati mereka ketika mereka bangkit lalu berkata; Tuhan kami adalah Tuhan yang  memiliki langit dan bumi,kami tidak akan menyembah tuhan yang lain dari Nya, seandainya kami menyembah yang lain dari Nya bererti kami telah mengatakan satu penyelewengan yang amat jauh”

ayat 14

Ayat-ayat Perincian

“mereka adalah kaum kami yang telah menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, cubalah mereka buktikan sifat ketuhanan tuhan-tuhan  yang lain itu dengan hujah yang jelas, tidak ada orang yang lebih zalim dari orang-orang yang melakukan pembohongan terhadap Allah” ayat 15

“Dan oleh sebab kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari sembahan-sembahan yang disembah mereka selain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di dalam gua nescaya Allah Tuhan kamu melimpah kurniaan rahmat Nya ke atas kamu dan menyediakan pertolongan terhadap  urusan kamu” ayat  16.

Makna Perkataan

Inilah pemandangan pertama dari pemandangan-pemandangan kisah :

“mereka adalah sekumpulan pemuda-pemuda yang telah beriman kepada Allah Tuhan mereka”

“Dan Kami telah menambahkan lagi hidayat kepada mereka” maksud hidayat dengan memberi ilham dan bimbingan kepada mereka bagaimana mereka menguruskan urusan mereka.

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka” maksudnya hati mereka menjadi kukuh, teguh  dan yakin kepada kebenaran yang telah diketahui dan berbangga dengan keimanan yang mereka pilih.

“Ketika mereka bangkit” qiyam pergerakan bangun  adalah harakat yang menunjukkan keazaman dan ketabahan (thabat)

Makna Perkataan

“lalu berkata Tuham kami adalah Tuhan yang memiliki langit dan bumi” Bermaksud Dia adalah Tuhan semesta Alam buana ini.

“Kami tidak akan menyembah tuhan yang lain dari Nya” bermaksud Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa tanpa sebarang sekutu.

“Seandainya kami menyembah yang lain dari Nya bererti kami telah mengatakan satu penyelewengan yang amat jauh” bermaksud kami telah melampau dari kebenaran dan menyeleweng dari jalan yang betul

Tempelak kepada Kaum Mereka

Seterusnya mereka  menoleh kepada kepercayaan yang dipegang  oleh kaum mereka, lalu pemuda-pemuda itu mengengkarinya dan mengecam cara mereka berfikir dalam membentuk aqidah  mereka.

“Mereka adalah kaum yang telah menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah,cubalah mereka buktikan sifat ketuhanan tuhan-tuhan yang lain itu dengan bukti yang jelas” ayat 15

Inilah Manhaj

Inilah manhaj ‘aqidah yang sebenar’. Seseorang  itu mestilah mempunyai hujah yang kuat, dalil dan bukti yang dapat mempengaruhi hati dan akal, yang menjadi sandaran kepada iktikadnya.Jika tidak ada bukti dan hujah, ia merupakan pendustaan yang amat keji kerana berdusta terhadap Allah.

“Tidak ada orang yang lebih zalim dari orang-orang yang melakukan pembohongan terhadap Allah” ayat 15

bermaksud betapa tegasnya pendirian pemuda-pemuda itu. Mereka tidak ada sebarang  keraguan  dan sikap teragak-agak. Mereka adalah  pemuda-pemuda yang kuat tubuh badan, kuat iman dan pendirian dan amat keras kecaman dan bantahan terhadap apa yang dipercayai oleh kaum mereka.

Perbezaan Jalan

Perbezaan antara dua jalan ini  amat jelas. Kedua-dua iktikad itu telah bercanggah  dengan terang dan nyata. Tidak ada sebarang titik pertemuan dan tidak ada cara hidup yang sama.

Oleh itu mereka  pasti menyelamatkan aqidah mereka, kerana mereka bukan para rasul yang diutus kepada kaum mereka,dan ditugaskan menyeru kaum mereka kepada aqidah yang betul serta bersedia menerima segala akibat yang biasa dihadapi para rasul.

Perbezaan Jalan

Mereka hanya pemuda-pemuda yang mendapat hidayat dalam masyarakat yang zalim dan kafir.  Tidak mungkin mereka dapat hidup jika mereka menwar-warkan aqidah mereka secara terang-terangan. Begitu juga mereka tidak sanggup bermuka-muka dengan kaum mereka, iaitu dengan menyembah apa yang disembah oleh kaum mereka kerana hendak menyelamatkan diri dan menyembunyikan ibadat mereka kepada Allah.

Mengikut pendapat yang rajih rahsia keimanan mereka telah terbongkar, tidak ada jalan lain bagi mereka, melainkan melarikan diri mencari perlindungan  Allah demi menyelamatkan agama mereka. Mereka redha memilih gua dari  kesenangan dan keseronokkan hidup. Mereka sepakat dalam  untuk  menyelamatkan diri.

Ayat 16

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari sembahan-sembahan yang disembah mereka selain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di dalam gua nescaya Allah Tuhan kamu mengurniakan rahmat Nya ke atas kamu dan menyediakan  pertolongan  terhadap urusan kamu”

Keajaiban Iman

Di sinilah terdedah keajaiban  hati pemuda-pemuda yang beriman,  mereka telah mengasingkan diri dari kaum  mereka.

Mereka meninggalkan kampung halaman, berpisah dengan kaum keluarga dan membuang segala keindahan  dan kenikmatan dunia, dan sanggup berlindung dalam gua yang sempit,kasar dan gelap.

Mereka begitu selesa dan gembira dengan rahmat Allah. Rahmat Allah itu luas  dan begitu damai sekali

Keajaiban Iman

“nescaya Allah Tuhan mengurniakan rahmat Nya ke atas kamu” yan sur bermaksud  melimpah ruah  yang  menggambarkan suasana yang luas, selesa, damai dan lega . Iaitu gua yang sempit menjadi luas, lapang dilimpahi dengan rahmat Nya sehinggga menjadikan dinding gua yang sempit menjadi luas, dinding yang keras menjadi lembut, suasana yang sepi menjadi tenang. Seluruhnya membayangkan kerahmatan, kelembutan, kerehatan dan keselesaan.

Nilai Iman

Itulah keimanan ! Berapakah  nilai fenemona dunia yang dirasai dalam kehidupan mereka di dunia? Di dalam lubuk hati orang-orang beriman, mereka berada alam lain, dipenuhi dengan keimanan dan hubungan mesra dengan Allah Yang Maha Penyayang.

Itulah alam kehidupan yang dinaungi dengan kerahmatan, kelembutan, kedamaian dan keredhaan.

Ayat 17

Kemudianpemandangan itu ditutup dengan tabir., lalu disingkap kembali untuk menayang senario baru di mana pemuda-pemuda itu di tidurkan oleh Allah  SWt.

“Dan engkau dapat melihat apabila matahari naik di timur cahanya menyimpang ke sebelah kanan gua ada apabila matahari  terbenam cahayanya menyinsing  melepasi mereka ke sebelah kiri gua, sedangkan mereka berada di lapangan gua, itulah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah, sesiapa yang diberi hidayat oleh Allah, maka dialah sebenarnya mendapat hidayat, dan sesiapa yang telah di sesatkan Nya maka kamu dapati  tidak ada sesiapa yang sanggup menjadi perlindung yang memberi bimbingan kepadanya”

Keindahan al Quran

Itulah satu  gambaran ilusterasi yang  menarik. Ia merakamkan keadaan pemuda-pemuda yang berada di dalam gua seolah-olah  tali rakaman filem yang sedang bergerak merakamkan keadaan matahari  naik  meninjau gua itu, kemudian cahayanya menyimpang dari mereka seolah ia berlaku dengan sengaja.

Perkataan ‘tazaawaru’ menyimpang  bermaksud tindakan cahaya matahari menyimpang itu dilakukan dengan iradat. Iajuga menggambarkan pergerakan matahari jatuh yang melewati mereka ke arah kiri, semasa berada di lapangan gua.

Rakaman pemandangan itu dihabiskan dengan ulasan  al Quran  yang biasa diselangi dalam perjalanan cerita untuk menyedarkan hati manusia pada waktu yang sesuai.

Kekuasaan Allah

“Itulah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah” iaitu Allah telah meletakkan  mereka  dalam keadaan begitu di dalam gua. Cahaya matahari  hampir dengan mereka tetapi sinarannya tidak menjadi bahang kepada tubuh mereka. Mereka  berada di situ  tidak mati dan tidak  pula bergerak.

“sesiapa yang diberi hidayat oleh Allah, maka dialah sebenarnya mendapat hidayat, dan sesiapa yang telah di sesatkan Nya maka kamu dapati  tidak ada sesiapa yang sanggup menjadi perlindung yang memberi bimbingan kepadanya”

Petunjuk  dan sesat  ada peraturan Allah. Sesiapa yang mendapat hidayat dari ayat-ayat  Allah bererti dia telah diberi hidayat oleh Allah  mengikut peraturannya, dan dialah mendapat hidayat yang  sebenar. Sebaliknya sesiapa yang tidak mengambil sebab-sebab  yang membolehkannya mendapat hidayat maka dia akan sesat. Kesesatannya  itu mengikut peraturan  Ilahi, bermakna  dia telah disesatkan Allah. Selepas kesesatan itu  tidak ada sesiapa yang dapat memberi petunjuk dan hidayat kepadanya.

Ayat 18

“Dan kamu mengira mereka itu bangun, pada hal mereka tidur, dan Kami membalik-balikkan badan mereka ke kanan dan ke kiri , sedangkan anjing mengunjurkan  kedua lengannya di muka pintu gua, dan jika kamu melihat mereka tentulah kamu akan berpaling melarikan diri dan hati mu dipenuhi dengan ketakutan kepada mereka”

Ayat seterusnya menyempurnakan pemandangan  yang  mengkagumkan , di mana pemuda-pemuda di balik-balikan  tubuh mereka ke kanan dan ke kiri, mereka berada dalam keadaan tidur yang lama sehingga  orang yang melihat mereka menyangka bahawa mereka sedang berjaga., sedangkan mereka  tidur.  Manakala anjing mereka pula seperti kebiasaan sifat anjing yang sedang menghulurkan kedua-dua lengan di depan pintu gua, seolah-olah menjaga mereka.

Keadaan mereka yang tidur berbalik-balik itu, boleh  menimbulkan perasaan takut kepada orang yang melihat mereka kerana  mereka seperti orang berjaga sedangkan mereka tidur. Itulah takdir Allah  supaya tidak ada orang yang dapat mengganggu mereka sehingga sampai masa yang ditentukan oleh Allah.

Wallahu ‘alam


Respon

  1. Pembentangan yg baik seta menjadi pedoman yg jelas .. terima kasih


Tinggalkan komen

Kategori