Posted by: petugasisma | Mei 4, 2010

Intro Tafsir Juzuk 28

Pendahuluan

Juzuk 28 merupakan himpunan surah-surah Madaniyah. Ia terdiri 9 buah surah, iaitu Al Mujadalah, Al Hasyr, Al Mumtahanah, As Saff, Al Juma’ah, Al Munafiqun, At Taghabun, At Tholaq dan At Tahrim. Perbicaraan tentang surah-surah ini, membawa kita menghayati peristiwa-peristiwa dalam masyarakat Madinah. Kita akan bersama dengan masyarakat dan kerajaan Islam yang pertama, sedang berkembang untuk membawa tasawwur hidup Islam  di alam realiti keseluruh alam.

Tugas adalah satu tanggungjawab yang dipikul oleh umat Islam. Ia menuntut persediaan yang sempurna. Pentarbiahan dan penyediaan jiwa memerlukan usaha dan kerja yang teliti, kesabaran yang panjang dan rawatan yang berterusan dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya. Hampir kesemua juzuk ini membentangkan usaha yang hebat ini, selain dari teknik dan pendekatan al Quran dalam membina jiwa, menangani pelbagai peistiwa, adat kebiasaan dan kecenderungan.

Begitu juga juzuk ini menjelaskan cabaran-cabaran yang ditempuhi oleh umat Islam dalam memikul tanggungjawab antaranya diri mereka sendiri, anak-anak, isteri-isteri  dan harta kekayaan yang kadang menjadi beban dan menghalang perjalanan mereka.

Juzuk ini juga membentangkan pertembungan yang panjang antara Islam dan musuh-musuhnya. Mereka sentiasa merancang dan menanti peluang untuk menghapuskan Islam.Antara musuh-musuh yang dijelaskan dalam juzuk ini seperti kaum yahudi, golongan munafiq dan kaum musyrikin.

Intima’ dan al tabarru’

Objektif umum yang menjadi intipati ayat-ayat juzuk ke-28 adalah berkaitan dengan isu yang amat sensitif. Iaitu intima’ (pengabungan) hidup mati dengan Islam dan at tabarru’ (membebaskan) diri sepenuhnya dari kekufuran dan orang-orang kafir. Ia merupakan diantara perkara asas dalam Islam, yang tidak dapat ditampung dengan solat dan ibadat-ibadat lain. Persoalan ini wajib memenuhi seluruh minda dan menguasai sanubari setiap peribadi muslim, di mana mereka mesti memberi kasih sayang, wala’ dan pertolongan hanya kepada orang-orang yang beriman (mukminin) dan pada masa yang sama memusuhi sesiapa yang menjadi musuh Allah, Rasul dan orang-orang beriman.

Masyarakat Islam Madinah

Surah al Mujadilah membicarakan perkara ini dengan detail. Bermula dengan institusi kekeluargaan, dan apa kaitannya dengan intima’…? Ini kerana ikatan masyarakat dan perasaan terikat dengan masyarakat bermula dengan institusi kekeluargaan.

Adapun surah al Hasyr, as Saff dan al Jumu’ah membicarakan tentang masyarakat Islam dan kesatuannya (wehdah), di mana hubungan sesama mereka dibentuk berdasarkan perasaan intima’ mereka kepada Islam dan Muslimin.

Awasi ancaman mereka!

Manakala surah al Mumtahanah menjelaskan tentang ujian, halangan dan cabaran terhadap intima’, ada pun surah al Munafiqun pula menzahirkan fenomena nifaq (sifat munafiq) yang merosakkan intima’ dan memecah belah kesatuan umat.

Adapun surah at Taghabun, at Talaq dan at Tahrim membentangkan perkara-perkara yang menyibukkan umat Islam daripada tuntutan intima’ dengan sepenuh hati kepada Islam seperti harta dan anak isteri.

Mula dan penutup

Surah al Mujadilah bermula dengan firman Allah:

قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا
ۚ

“Sesungguh Allah telah mendengar ucapan perempuan yang mengadu kepada mu (wahai Muhammad) tentang suaminya dan mengadu halnya kepada Allah, dan Allah mendengar percakapan antara kamu berdua”

Ayat ini menjelaskan kepentingan institusi kekeluargaan dalam pembinaan masyarakat Islam, di mana seorang suami telah mengatakan isterinya sama seperti ibunya, lalu Allah menurunkan ayat-ayatNya bagi menerangkan bahawa tindakan suami tersebut adalah salah di sisi Islam, dan tidak sepatutnya si suami menzalimi isterinya dan merungkai ikatan kekeluargaan. Ini menggambarkan bahawa Islam begitu mengambil berat tentang kedudukan wanita dan institusi kekeluargaan. Apabila seseorang wanita merasai bahawa Islam telah memuliakan kedudukan mereka, nescaya dia akan mendidik anak-anaknya supaya intima’ dengan Islam.

Sebagaimana permulaan juzuk yang ke 28 menjelaskan tentang isu wanita, begitulah juga pengakhirannya, di mana contoh tauladan wanita kuat intima’ dengan agama dipaparkan, iaitu melalui kisah permaisuri Fir’aun dan Mariam binti Imran. Seolah-olah Allah menyatakan kepada kita agar memelihara hak-hak wanita kerana wanita merupakan lambang keimanan dan kesejahteraan masyarakat. Adakah di sana sesiapa lagi yang sanggup mendakwa Islam mengabaikan wanita…?

Cinta dan benci kerana Allah

Seterusnya Allah menjelaskan hal keadaan kelompok mukminin dengan firmanNya:

أُولَـٰئِكَ حِزْبُ اللَّهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“mereka itulah Hizbullah, ingatlah sesungguhnya Hizbullah itulah yang berjaya” (ayat 22)

Ayat sebelumnya menjelaskan tentang musuh-musuh Allah, iaitu hizbusy-syaitan. FirmanNya:

أُولَـٰئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“mereka itulah hizbusy- syaitan dan ketahuilah bahawa parti syaitan itulah yang rugi” (ayat 19)

Kitalah yang menentukan pilihan untuk diri kita sendiri, samada ingin bersama Hizbullah atau hizbusy-syaitan. Jika kita memilih untuk bersama Hizbullah, maka kewajipan kita adalah untuk mencintai Allah, rasulNya dan orang mukmin dan membenci semua yang memusuhi Allah. Sebaliknya, jika kita memilih parti syaitan maka ketahuilah bahawa hizbusy-syaitan akan rugi dan dikalahkan!

Kemudian Allah menegaskan bahawa seorang muslim mesti mencintai apa yang dicintai oleh Allah serta membenci apa yang dibenci oleh-Nya. Firman Allah:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ

“Engkau (Muhammad) tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu adalah bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya…” (ayat 22).

Tidak sepatutnya seorang muslim yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul mengasihi musuh Allah dan RasulNya dalam masa yang sama, sekalipun mereka itu adalah terdiri daripada kaum kerabatnya.

Intima’ yang rapuh…

Surah al Hasyr diturunkan kerana Bani an-Nadhir salah satu suku yahudi, peristiwa ini berlaku di dalam tahun yang keempat hijrah selepas peperangan Uhud dan sebelum peperangan Azhab kerana mengkhianati perjanjian damai dengan Rasulullah saw. Akhirnya bagaimana mereka diusir keluar dari Madinah. Golongan Munafiqin memberi sokongan kepada yahudi Bani an-Nadhir yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul telah menghantar utusan kepada mereka supaya menolak tuntutan itu dan terus melawan.Golongan Munafiqin itu telah memberi kata yang tegas kepada mereka ‘Jika kamu tetap dengan pendirian kamu dan sanggup bertahan, maka kami tidak akan menyerahkan kamu dan jika kamu diperangi, kami tetap berperang bersama kamu, dan jika kamu diusir keluar, kami tetap keluar bersama kamu’. Hal ini telah diterangkan oleh Allah dengan firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قُوتِلْتُمْ لَنَنصُرَنَّكُمْ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

“Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang munafiq yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari golongan ahli kitab, jika kamu diusir keluar, nescaya kami akan tetap keluar bersama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan tunduk kepada sesiapa pun yang menentang kamu. Dan jika kamu diperangi, kami tetap akan membantu kamu, dan Allah menyaksi bahawa sesungguhnya mereka adalah pendusta” (ayat 11)

لَئِنْ أُخْرِجُوا لَا يَخْرُجُونَ مَعَهُمْ وَلَئِن قُوتِلُوا لَا يَنصُرُونَهُمْ وَلَئِن نَّصَرُوهُمْ لَيُوَلُّنَّ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

“Jika mereka(Yahudi) diusir keluar, mereka tidak akan keluar bersama kamu, jika mereka (Yahudi) diperangi, mereka tidak akan membantu, jika merekamembantu, mereka akan berpaling lari ke belakang kemudian mereka(Yahudi) tidak akan dapat bantuan” (ayat12)

لَأَنتُمْ أَشَدُّ رَهْبَةً فِي صُدُورِهِم مِّنَ اللَّهِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ

“Sesungguhnya kamu di dalam hati mereka lebih ditakuti mereka dari Allah, sebab mereka adalah golongan manusia yang tidak mengerti” (ayat 13)

Golongan Munafiqin tidak akan sekali-kali memberi bantuan kepada orang Yahudi Bani an Nadhir, seperti apa yang telah dijanjikan oleh ketua munafiq iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul kerana intima’ mereka terlalu rapuh yang tidak mampu menghadapi ujian dan rintangan. Al Quran membandingkan  keadaan dan hakikat Bani an Nadhir dan kaum munafiqin, dengan syaitan yang menghasut manusia, yang mana pada akhirnya manusia yang menerima hasutan itu telah menerima nasib kesudahan yang  amat teruk. Firman Allah:

كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِّنكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ

“(Pujukan kaum munafiqin itu) sama seperti pujukan syaitan yang berkata kepada manusia; kafirlah engkau, dan apabila manusia menjadi kafir ia berkata, aku tidak ada apa-apa hubungan dengan engkau, kerana aku sebenarnya takut Allah Tuhan semesta alam” (ayat 16)

Tiga contoh tauladan

Kemudian Allah membawa contoh bagaimana hubungan orang mukmin sesama mereka dan hubungan mereka dengan orang lain. Marilah kita menghayati firman Allah:

لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا

“Harta fai’i itu juga untuk orang-orang Muahjirin yang fakir yang telah diusirkan dari kampung halaman mereka dan harta benda mereka kerana mencari limpah kurnia dan keredhaan Allah” (ayat 8 )

Mereka keluar kerana mencari keredhaan Allah, mereka itu adalah golongan Muhajirin.

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ

“Juga untuk orang-orang Ansar yang menetap dalam negeri hijrah dalam keimanan sebelum kedatangan Muhajirin” (ayat 9).

Inilah intima’ dan kesatuan, mereka mengutamakan kepentingan Muhajirin dari kepentingan diri mereka sendiri walaupun diri mereka memerlukan, mereka itu adalah golongan Ansar.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

“Juga untuk orang-orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar) yang berdoa; Wahai Tuhan Kami! Ampunkan kami dan saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami” (ayat 10 )

Mereka berdoa kepada saudara mereka yang lebih dahulu beriman dan saudara-saudara mereka yang beriman semasa hidup bersama dengan doa:

وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“dan janganlah Engkau jadikan di dalam hati kami perasaan dendam terhadap orang-orang yang beriman; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang dan Maha Pengasih” (ayat 10 )

Bagi mereka cinta dan kasih sayang, mereka itu adalah tabi’in yang datang selepas generasi Muhajirin dan  Ansar  dan mereka yang beriman selepas  itu  sehinggalah hari kiamat.

Sifat kebesaran dan kesempurnaan

Surah ini diakhiri dengan tasbih kepada Allah yang memiliki segala isi langit dan bumi dengan firman-Nya:

لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

“dan sekiranya Kami turunkan al Quran ini di atas sebuah gunung nescaya engkau melihat gunung itu tunduk patuh dan pecah terbelah kerana takut kepada Allah, itulah perumpaan yang Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir” (ayat 21)

Bagaimanakah orang-orang Yahudi menduga bahawa benteng perlindungan mereka teguh dan kuat sedangkan jika al Quran diturunkan ke atas gunung, ia akan hancur. Manakah yang lebih teguh dan kuat, gunung yang menjadi pasak bumi atau benteng-benteng yahudi? Fikirlah wahai orang-orang yang berakal!

Surah al Hasyr diakhiri dengan menyebut tasbih dan memuji nama Allah al husna,seolah-olah Allah berkata kepada kita, wahai muslim!kenapa kamu tidak memberi intima’ dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT yang mempunyai kekuasaan Yang Maha Agung lagi gagah perkasa?

Intima’ atau tidak.

Seterusnya surah al Mumtahanah membicarakan tentang ujian dan cabaran wala’ terhadap masyarakat Islam. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا جَاءَكُمُ الْمُؤْمِنَاتُ مُهَاجِرَاتٍ فَامْتَحِنُوهُنَّ ۖ

“Wahai orang-orang mukmin apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka” (ayat 10 )

Bermakna hendaklah kamu kenalpasti keimanan mereka dan Allah lebih mengetahui hakikat keimanan mereka.

Surah ini juga melarang umat Islam dari memberi wala’ kepada mana-mana tamadun selain dari Islam, dan menuntut mereka agar menjadikan Islam sebagai pegangan dan ikatan yang teguh serta kukuh dalam membina dan membangun kehidupan mereka. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengambil musuh-Ku dan musuh mu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, pada hal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepada mu” (ayat 1)

Justeru itu sesiapa yang mengaku beriman tetapi tidak memberi wala’ dan kasih sayang kepada orang-orang yang beriman, maka imannya ada kesamaran atau dia tidak memahami isu ini.

Bergaul dengan mereka, tetapi berbeza dari mereka

Ini bukan bermakna kita memulau terus semua tamadun yang tidak ada kaitan dengan Islam atau tidak berinteraksi dengan mereka atau tidak mengambil faedah dari mereka. Kita berinteraksi dengan mereka dalam perkara yang memberi faedah kepada agama dan umat manusia keseluruhannya. Interaksi ini tidak boleh membawa kepada leburnya identiti Islam kita. Allah SWT berfirman:

عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً ۚ وَاللَّهُ قَدِيرٌ ۚ

“Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka dan Allah adalah Maha Kuasa” (ayat 7)

Allah berfirman lagi:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir dari negeri kamu dan berlaku adil kepada mereka” (ayat 8 )

Kebaikan adalah suatu yang perkara yang dituntut, tidak kira kepada orang Islam ataupun kepada orang bukan Islam. Selagi mana orang bukan Islam itu tidak memerangi umat Islam dan tidak memberi bantuan kepada orang yang memerangi umat Islam.

Ujian-ujian…

Kisah Hatib bin Abi Balta’ah merupakan kisah ujian pertama yang dibentangkan oleh Allah SWT dalam surah ini. Hatib bin Abi Balta’ah merupakan seorang sahabat yang terlibat dalam peperangan Badar al Kubra. Beliau telah menghantar surat kepada ahli keluarganya melalui seorang wanita, menceritakan tentang tujuan Rasulullah SAW untuk menyerang kota Mekah. Ini sememangnya merupakan satu kesilapan!

Tetapi Allah Maha Mengetahui kejujuran iman Hatib bin Abi Balta’ah, bahawa dia bukanlah seorang munafiq, tetapi sekadar ingin memberi perlindungan kepada ahli keluarganya. Justeru, Allah telah memberi keampunan kepadanya, lalu Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengambil musuh-Ku dan musuh mu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, pada hal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepada mu” (ayat 1)

Lantaran itu, kisah ini menjadi pedoman kepada semua umat Islam di sepanjang zaman supaya tidak berbuat demikian selepas teguran tersebut.

Seterusnya kisah kekasih Allah Nabi Ibrahim a.s yang berjaya dalam ujian, Allah berfirman:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّىٰ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

“Sesungguhnya ada suri teladan yang baik bagi mu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka; sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dan dari apa yang kamu sembah selain dari Allah, kami ingkari (kekafiran) mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya, sehinggalah kamu beriman kepada Allah” (ayat 4)

Inilah contoh mufasolah imaniah atau pemisahan yang berdasarkan keimanan yang tidak ada tolak ansur.

Ujian seterusnya supaya kita berlaku adil kepada orang bukan Islam selama mana mereka tidak memerangi umat Islam dan tidak menyokong dan memberi bantuan kepada orang-orang yang  memerangi umat Islam. Firman Allah:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir  dari negeri kamu dan berlaku adil kepada mereka” (ayat 8 )

Seterusnya ujian terhadap intima’ wanita-wanita yang beriman dan berhijrah. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا جَاءَكُمُ الْمُؤْمِنَاتُ مُهَاجِرَاتٍ فَامْتَحِنُوهُنَّ ۖ

“Wahai orang-orang mukmin apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka” (ayat 10 )

Saff ar Rahman…

Surah ash Shaff terus mengukuh lagi isu wala’ dan intima’ kepada Islam dan umat Islam. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh” (ayat 4)

Begitulah sebaliknya orang-orang kafir, mereka sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam dan umat Islam. Allah memberi peringatan dengan firmanNya:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, meskipun orang kafir benci” (ayat 8 )

Surah ini ditutup dengan seruan kepada orang-orang beriman supaya berpegang teguh dan memberi intima’ sepenuh hati kepada agama Allah, sebagaimana Nabi Isa a.s menyeru dan menuntut al hawariyun supaya mereka membantu dan menolongnya dalam menegakkan agama Allah. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ ۖ

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Mariam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama Allah); pengikut-pengikutnya yang setia berkata: kamilah penolong-penolong agama Allah” (ayat 14)

Lambang kesatuan umat…

Kemudian diikuti dengan surah al Jumu’ah yang menggambarkan kesatuan umat Islam melalui perhimpunan mingguan mereka untuk menunaikana solat Jumaat setiap minggu. Dalam solat Jumaat ada bacaan ayat-ayat Allah, ada tazkiyah, ada taalim kitab dan hikmah. Firman Allah:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul diantara mereka, yang membaca ayat-ayat Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajar kepada mereka  Kitab dan Hikmah (as Sunnah” (ayat 2)

Adakah solat Jumaat yang ditunaikan pada hari ini telah mencapai objektif-objektif tersebut?

Surah ini dinamakan dengan solat Jumaat untuk menjelaskan kapada kita bahawa kesatuan umat Islam tertegak di atas asas taalim Rabbaniah. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingatkan Allah dan tinggalkan jual beli” (ayat 9 )

Umat Islam tidak diberi kelonggaran untuk melewat-lewatkan kehadiran dalam solat Jumaat atau tidak hadir tanpa sebarang keuzuran yang syar’ie kerana ia merupakan lambang kesatuan umat.

Tidak memberi intima’ kepada mereka…

Surah ini juga menceritakan tentang sikap orang-orang Yahudi yang tidak pernah memberi intima’ kepada agama Allah. Firman Allah:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ

“perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal; amatlah buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim” (ayat 5)

Demikian pula Allah membentangkan kisah golongan munafiqin dalam surah al Munafiqun:

إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ

“Apabila orang-orang munafiq datang kepada mu, mereka berkata: kami mengakui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar RasulNya dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafiq itu benar-benar pendusta” (ayat 1)

Hati orang-orang munafiq tidak pernah mencintai Allah dan orang-orang beriman, serta mereka juga tidak pernah beriman dengan Rasul yang Allah utuskan. Mereka ini sama seperti orang-orang Yahudi yang tidak pernah mengambil pengajaran dari kitab Taurat.

Virus Intima’

Surah al Munafiqun terus membentangkan sifat-sifat orang-orang munafiq dan memberi peringatan kepada orang-orang beriman tentang betapa merbahayanya virus intima’ yang dibawa kaum munafiq ini. Golongan munafiq ini berhasrat untuk memporak peranda kesatuan umat Islam dengan tindakan mereka secara terang-terangan mahupun secara senyap-senyap.

Surah ini juga menjelaskan beberapa perkara yang boleh menyebabkan kaum muslimin sibuk dari intima’ mereka seperti harta benda, anak-anak dan isteri-isteri. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah” (ayat 9)

Seterusnya masalah harta, isteri dan anak yang melalaikan kaum muslimin dari tugas asasi mereka, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT dan berjuang untuk mendaulatkan syariatNya di dunia ini. Ianya lebih tegas dan jelas, diberi peringatan oleh Allah melalui surah at Taghaabun, at Thalaq dan at Tahrim. Dalam surah at Taghaabun Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ ۚ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh kepada kamu maka berhati-hatilah kamu dengan mereka” (ayat 14)

Kemudian selepas ayat tersebut Allah memberi peringatan:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu hanyalah cubaan atau ujian bagi kamu, di sisi Allahlah pahala yang besar” (ayat 15)

Kecuali mereka yang mendapat rahmat dari Allah..

Allah SWT menarik perhatian kaum muslimin ketika menyebut anak-anak dan isteri-isteri kamu sebagai seteru dalam surah at Taghaabun, firmanNya:

إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ

“Sesungguhnya isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh kepada kamu” (ayat 14)

Perkataan ‘min’ bukan bermakna semua anak-anak dan bukan semua isteri-isteri, kerana ‘min’ bermakna lit tab’iid yang bermaksud sebahagian atau bermaksud terdapat sebahagian dari anak-anak dan isteri-isteri kamu menjadi seteru kepada kamu maka hendaklah kamu berhati-hati.

Cuba kita perhatikan dalam surah at Tahrim, firmanNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintah Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” (ayat 6)

Dalam ayat ini jelas institusi kekeluargaan adalah paksi penting bagi keteguhan intima’ seseorang kepada Islam. Oleh itu menjaga atau memelihara institusi kekeluargaan adalah jaminan kepada lahirnya masyakat Islam yang prihatin terhadap anggota masyarakat muslim.

Allahu A’lam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: